KUALA LUMPUR: Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Perodua terus komited dalam usaha mengumpulkan data bagi mengembangkan teknologi kenderaan tempatan menerusi kerjasama dengan Persona Energy Sdn. Bhd. yang akan menyertai FIA World Endurance Championship 2021 (WEC 2021).
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, penyertaan dalam perlumbaan bertaraf dunia itu membolehkan pemindahan teknologi telematik, penanda aras data dan bidang lain yang relevan seterusnya membantu perkembangan standard Pemanduan Autonomi Tahap 3.
Ujarnya, buat masa ini, di antara kenderaan tempatan yang dilengkapi dengan standard Pemanduan Autonomi Tahap 2 adalah Perodua Ativa dan pengumpulan data dapat membantu menambah baik sistem serta modul yang sedang dibangunkan sebelum dikomersialkan.
“Teknologi telemetri dan pengurusan data dalam sukan permotoran juga lebih maju daripada kenderaan biasa, jadi data yang diambil akan memberikan dimensi baharu untuk pembangunan tempatan, baik di peringkat OEM atau pembekal.
“Melalui kolaborasi ini, usaha kita untuk meningkatkan nilai kenderaan tempatan akan lebih mudah dan sejajar dengan pembangunan komponen kritikal yang dinyatakan dalam Dasar Automotif Nasional 2020.
“Perodua dengan senang hati menyokong usaha yang memberikan nilai tambah dan peluang baharu untuk industri Malaysia. Kami melihat ini bukan hanya pendekatan inovatif untuk pengembangan teknologi, tetapi langkah proaktif dalam membangunkan bakat kejuruteraan melalui pendedahan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian kerjasama (MoA) dengan Pengarah Eksekutif Persona Energy Sdn. Bhd., Jazeman Jaafar, disaksikan Pengetua Pasukan JOTA, Sam Hignett dan Pengarahnya, David Clark di sini semalam.
Dalam majlis sama, empat perintis jurutera yang akan menyertai kejuaraan itu pada Jun depan sebagai sebahagian daripada Program Pemindahan Teknologi (TTAP) turut diperkenalkan.
Empat jurutera tersebut ialah Anderson Kent Robert, Luqman Othman, Muhammad Amzar Danish Chairil dan Muhammad Taufiq Mohd. Zin.
Sementara itu, Jazeman yang juga pemandu Formula 1 memaklumkan, beliau gembira dengan perjanjian kerjasama komprehensif yang membantu pembangunan TTAP.
“Dengan pendedahan sukan permotoran yang baru diperkenalkan membolehkan bakat kejuruteraan generasi akan datang untuk menunjukkan kemampuan dan kemahiran mereka di acara perlumbaan bertaraf antarabangsa ini.
“Dengan mengumpulkan pengetahuan dari pemindahan teknologi motorsport yang unik, jurutera ini akan kembali ke Malaysia dan berkembang menjadi individu yang berkemahiran tinggi seterusnya meningkatkan industri automotif kita,” ujarnya. – UTUSAN










