Pelumba Sepanyol bantah Barcelona kemuncak MotoGP

Pelumba Sepanyol bantah Barcelona kemuncak MotoGP

Penganjur MotoGP mengekalkan jumlah pelumba sedia ada. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pelumba Ducati, Enea Bastianini menyifatkan perlumbaan terakhir MotoGP di Sepa­nyol sebagai tindakan tidak peka terhadap usaha pemulihan yang sedang dijalankan selepas negara itu dilanda banjir besar pada minggu lalu.

Bandar Valencia dan kawasan sekitarnya telah dilanda hujan lebat pada minggu lalu sehingga menyebabkan banjir besar yang mengakibatkan lebih 200 kematian yang diketahui malah akses ke Litar Ricardo Tormo di Cheste turut terjejas.

Situasi tersebut telah menyebabkan pembatalan Grand Prix (GP) Valencia yang sepatutnya diadakan pada 15 hingga 17 November ini bagi menutup musim MotoGP 2024.

Pengumuman pembatalan itu menyebabkan MotoGP sedang merancang mencari pengganti malah pelbagai alternatif telah dicadangkan apabila mahu menunda pusingan ter­akhir itu pada 22 hingga 24 November ini dan ada yang turut mencadangkan ia diadakan di Qatar.

Bagaimanapun, Dorna Sports mengesahkan di GP Malaysia bahawa mereka kini sedang berusaha untuk mengekalkan tarikh asal perlumbaan dengan mengubah venue di Barcelona.

Bastianini menentang idea tersebut malah percaya adalah tidak wajar berlumba di Sepa­nyol selepas apa yang telah berlaku di negara tersebut.

“Bagi Marc (Marquez), ini adalah acara yang baik untuk pergi ke Barcelona, bandar asalnya. Bagi saya, adalah tidak betul untuk berlumba di Sepanyol tetapi begitulah, ini adalah pilihan Dorna.

“Bagaimanapun, kita perlu memberikan 100 peratus. Saya perlu lebih kuat berbanding perlumbaan di Barcelona pada permulaan musim, kerana saya pantas tetapi saya menerima dua, tiga penalti. Kita lihatlah,” kata Bastianini selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Sepang. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×