INDIVIDU yang memiliki ahli keluarga menghidap kanser payudara berisiko dua kali ganda untuk mewarisinya.
Pejuang kanser payu dara, Naliza Fahro Rozi, 54, antara yang termasuk dalam golongan itu apabila lima ahli keluarganya iaitu ibu, Aisny Mohd. Daris di samping tiga emak saudara dan sepupu disahkan sebagai penghidap.
Namun, tiga daripadanya sudah meninggal dunia akibat tidak mendapatkan sebarang rawatan.
Ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 2020 di usia 73 tahun dengan kanser di tahap 4 dan merebak ke paru-paru.
“Namun penyakit itu dirahsiakan daripada pengetahuan anak-anak sebab enggan membuat rawatan manakala dua ibu saudara di sebelah emak dan ayah meninggal dunia pada 1999 serta 2014 ketika masing-masing berusia 45 dan 65 tahun.
“Seorang lagi emak saudara, Ainon Mohd. Daris, 75, sihat hingga kini setelah 40 tahun episod kanser berlalu dan sepupu, Nur Farahin Mat Radzi, 35, pula masih menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila disahkan tahap 4, enam tahun lepas ,” katanya membuka bicara.

Beliau ditemui pada acara Be Bold Be Safe anjuran R Beaute Socialites di pusat beli-belah KL Eco City baru-baru ini.
Naliza didiagnosis kanser tahap 3A pada 2020 dan kekuatan semangatnya itu diwarisi daripada Ainon yang diserang kanser payudara sebanyak dua kali, iaitu ketika berusia 35 tahun disusuli dua tahun kemudian.
Namun, setelah menjalani dua pembedahan mastektomi dan kemoterapi, ibu saudaranya dapat meneruskan kehidupan hingga kini.
Berkongsi kisahnya, Naliza tidak menyangka rasa sakit akibat benjolan di bawah ketiak kanan empat tahun lalu adalah kanser.
Pemeriksaan mamogram, ultrasound dan biopsi mendapati ada ketumbuhan agresif jenis HER2-Positive ER PR Negative sebesar 3.5 sentimeter.
“Masa itu hanya ketiak yang sakit manakala payudara cuma keras tetapi saya sangka itu adalah normal disebabkan datang bulan.
“Selepas pembedahan doktor memberitahu saiz tumor itu sebenarnya lebih besar iaitu 5.5 sentimeter dan sudah memenuhi seluruh bahagian payudara kanan saya,” kata usahawan solo ini.
Rawatan terakhir yang dijalaninya ialah pada Julai tahun lalu selepas mengharungi 62 sesi kemoterapi dan radioterapi.

Takut suami lari
Naliza yang juga Naib Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) kecewa apabila segelintir wanita sanggup menanggung sakit dengan tidak menjalani sebarang rawatan kanser payudara semata-mata tidak mahu kehilangan suami.
Ia disebabkan ketakutan melampau yang pasangan tidak lagi menyukai perubahan fizikal selepas mengikuti prosedur mastektomi iaitu pembedahan melibatkan pembuangan aset kewanitaan itu.
Ujarnya, mentaliti itu masih menebal dalam kalangan pesakit tanpa mengira latar belakang, kerjaya dan pendidikan.
“Jangan terkejut kerana ramai wanita termasuk daripada kategori T20 takut menjalani pembedahan tersebut disebabkan tidak mahu suami lari.
“Namun, ‘pengorbanan’ itu sia-sia kerana bila sakit melarat, si suami tetap berkahwin lain sama ada selepas pasangan meninggal atau tempoh sebelumnya akibat tidak sanggup menjaga isteri yang berpenyakit.
“Saya merayu wanita untuk utamakan kesihatan diri dan usah terlalu berfikir tentang kehilangan suami atau lain-lain perkara,” katanya.
Naliza melahirkan kesyukuran apabila suaminya sanggup menerima kekurangan diri setelah melalui prosedur mastektomi di payudara kanannya, pada Mac 2020.
“Fikiran saya positif mahu teruskan pembedahan sebab suami menyokong, malangnya hasrat itu ditentang arwah emak kerana takut pasangan saya lari.
“Saya tegaskan kepada emak niat saya untuk menyelamatkan diri dan kalau suami mahu lari, saya masih boleh teruskan hidup kerana keadaan diri yang sihat.
“Alhamdulillah, suami masih bersama dan walaupun tiada rezeki untuk menimang cahaya mata tetapi hubungan kami masih utuh setelah 11 tahun berkahwin di sebalik saya tiada sebelah payudara,” katanya.

Tegasnya, dengan kemajuan teknologi perubatan kini, wanita boleh melakukan rekonstruktif atau membina semula payudara selepas melalui pembedahan membuang tumor.
Jenis pembinaan semula payudara boleh dilakukan menerusi beberapa pilihan termasuk menggunakan isi tubuh badan pesakit itu sendiri (autologous), payudara palsu (prostesis) atau gabungan kaedah autologous dan prostesis.
Justeru, tiada alasan untuk pesakit kanser payudara menolak daripada menjalani sebarang rawatan yang disarankan oleh pakar perubatan.
Kanser payudara merupakan pembunuh utama wanita di negara ini dengan kira-kira 3,500 kematian direkodkan setiap tahun.
Walaupun sering dikaitkan dengan wanita berusia, namun kini terdapat peningkatan kes yang membimbangkan dalam kalangan individu berusia antara 18 hingga 40 tahun.

40 peratus tidak jalani mamogram
Antara hakikat yang memeritkan untuk dihadamnya ialah masih ramai wanita takut untuk membuat pemeriksaan lanjut kanser payudara gara-gara momokan tentang bahaya dan kesan sampingan rawatan.
Katanya, rekod BCWA mendedahkan kira-kira 40 peratus wanita berisiko tidak melakukan pemeriksaan mamogram seperti disarankan.
Malah, dalam kalangan mereka itu ada yang berpendidikan tinggi, berkerjaya dan tinggal di bandar.
“Sejak diasaskan pada 1986, BCWA aktif melakukan pemeriksaan payudara secara percuma kepada wanita, namun segelintirnya dikesan sengaja memberikan nombor telefon palsu semata-mata kerana tidak mahu dihubungi semula.
“Pemeriksaan dengan pihak hospital turut mendapati individu berisiko itu tidak muncul untuk menerima rawatan.
“Saya kesal dengan sikap itu, apakah mereka mahu tunggu sehingga kanser merebak ke tahap empat atau sanggup mati berbanding buat pemeriksaan,” katanya meluahkan emosi.
Naliza berkata, walaupun pembedahan, kemoterapi dan radioterapi bukan proses mudah tetapi banyak kajian membuktikan kejayaan pelaksanaannya.
Katanya, pengesanan awal, juga boleh meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit dan hasil rawatan yang ketara.

Kerap berdenyut
Seorang lagi pejuang kanser, Norbayati Karim, 51, berkata, hatinya luluh apabila doktor mengesahkan rasa berdenyut-denyut pada payudara kiri berpunca akibat kanser tahap dua.
Namun, semangat untuk sihat mendorong petugas pembersihan ini segera menjalani rawatan pada November 2016.
“Selepas mamogram, doktor turut mengesahkan yang sel kanser tahap 1 ada juga pada payudara kanan walaupun hanya kecil sebesar kacang hijau.
“Awalnya saya tidak boleh terima sebab rasa diri sihat cuma saya tidak boleh tipu yang payudara memang berdenyut.
“Doktor tenangkan saya sambil mengatakan penyakit itu masih di tahap awal dan mudah untuk dirawat, jadi atas nasihatnya saya bersetuju untuk melakukan pembedahan membuang kedua-dua payudara,” katanya.
Seperti wanita lain, ibu tiga anak ini tidak terkecuali rasa bimbang kehilangan suami kerana rawatan tersebut.
Selepas selesai pembedahan, Norbayati menjalani enam sesi kemoterapi pada 2017 dan kekal sihat hingga kini.
Katanya, rawatan kemoterapi sangat mencabar hingga tiada selera makan dan beratnya turun mendadak daripada 56 kilogram ke 42 kilogram.
Walaupun dirinya sihat dan hilang kedua-dua payudara, namun dia tetap melakukan pemeriksaan kendiri setiap awal bulan bagi mencegah risiko kanser berulang.










