KETERLIBATAN langsung dengan rakyat telah menjadi salah satu ciri kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kerap turun padang bagi menyelami keperluan dan permasalahan rakyat.
Setiap hari Jumaat, Perdana Menteri mengamalkan tradisi makan tengah hari bersama rakyat di pelbagai lokasi di seluruh negara. Selain itu, Perdana Menteri turut melakukan lawatan mengejut ke tempat-tempat awam seperti stesen minyak, medan selera dan lapangan terbang.
Tindakan ini bukan sahaja mencerminkan kesungguhan beliau untuk berkhidmat dengan penuh keikhlasan tetapi juga memberikan contoh teladan bagi penjawat awam dan ketua jabatan kerajaan untuk lebih kerap turun padang menyantuni rakyat.
Jika Perdana Menteri, sebagai pemimpin tertinggi negara, meluangkan masa untuk berinteraksi terus dengan rakyat, maka ketua-ketua jabatan kerajaan juga harus mengambil langkah yang sama.
Langkah turun padang oleh ketua jabatan adalah penting kerana ia bukan sahaja mendekatkan mereka dengan masyarakat tetapi juga membantu mereka memahami secara langsung keperluan, harapan dan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Tindakan Perdana Menteri seharusnya dijadikan teladan, menunjukkan bahawa kepimpinan yang berkesan bermula dari pemahaman mendalam terhadap realiti di lapangan. Penglibatan secara langsung melalui turun padang membolehkan ketua jabatan mendapatkan input yang lebih realistik tentang isu-isu yang dihadapi rakyat.
Dalam konteks ini, apabila ketua jabatan melihat sendiri keadaan sebenar, keputusan yang dibuat akan lebih tepat dan relevan. Berada di lapangan membantu ketua jabatan menghayati keadaan sebenar dan bukan hanya berdasarkan laporan atau cadangan atas kertas yang disediakan oleh pegawai mereka.
Sebagai contoh, melalui lawatan mengejutnya di stesen minyak di Presint 16, Putrajaya, Perdana Menteri dapat menilai mutu kemudahan dan perkhidmatan di situ. Ini menunjukkan betapa pentingnya pengalaman langsung untuk menilai secara realistik keadaan di lapangan, yang seterusnya membolehkan Perdana Menteri memberikan teguran dan cadangan yang spesifik untuk penambahbaikan.
Turun padang juga memberi ruang kepada ketua jabatan untuk menyemai nilai empati dan membina kesedaran sosial yang mendalam. Melalui interaksi langsung, penjawat awam dapat memahami lebih mendalam aspirasi dan keluh kesah rakyat. Perdana Menteri sendiri sering menggunakan peluang turun padang untuk beramah mesra, mendengar keluhan serta memberi nasihat atau maklum balas segera kepada rakyat.
Pengalaman seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara rakyat dan kerajaan tetapi juga membantu pegawai awam mengamalkan sikap mesra dan bertanggungjawab dalam penyampaian perkhidmatan mereka. Nilai empati, yang merupakan salah satu nilai penting dalam inisiatif H.E.M.A.T., dapat dihayati dengan lebih mendalam melalui pengalaman ini.
Dalam usaha mencapai aspirasi Malaysia Madani, turun padang oleh pemimpin bukan sahaja melibatkan Perdana Menteri tetapi juga setiap pemimpin dalam struktur perkhidmatan awam. Dengan mengamalkan nilai-nilai Malaysia Madani dan prinsip H.E.M.A.T., perkhidmatan awam dapat mencapai objektif untuk menjadi lebih responsif dan mesra rakyat.
Lawatan dan interaksi yang berterusan oleh ketua jabatan mencerminkan nilai keadilan, ihsan dan amanah dalam memastikan perkhidmatan kerajaan sampai ke setiap lapisan masyarakat dengan efisien.
Sebagai contoh, dalam lawatan beliau ke Terengganu baru-baru ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz, menyantuni pesara dan menyerahkan bantuan kepada penerima e-Kasih yang berstatus miskin. Langkah ini menggambarkan bagaimana ketua jabatan boleh memainkan peranan dalam menambah baik kehidupan rakyat secara langsung dan memberikan sumbangan kepada masyarakat.
Lawatan yang dilaksanakan secara menyeluruh ini menyentuh tiga aspek utama, iaitu penyampaian biasiswa Dermasiswa B40 (DB40), santunan terhadap pesara dan pelancaran logo H.E.M.A.T., yang sekali gus mencerminkan kepentingan keterlibatan ketua jabatan di lapangan dalam memperkukuh hubungan antara perkhidmatan awam dengan masyarakat.
Salah satu pengisian utama lawatan KPPA ini ialah penyampaian biasiswa DB40 tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 289 pelajar yang layak melanjutkan pengajian di Terengganu sebagai sebahagian daripada 6,624 orang pelajar yang berjaya di seluruh negara. Program biasiswa ini disasarkan khusus kepada pelajar daripada golongan B40 yang berhasrat melanjutkan pelajaran di universiti awam dan politeknik.
Selain itu, KPPA turut mengambil kesempatan menyantuni dua orang pesara yang mengalami komplikasi kesihatan iaitu ketumbuhan dalam kepala dan masalah tulang belakang. Tindakan ini jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pesara yang telah menabur bakti dalam perkhidmatan awam, malah mencerminkan nilai-nilai yang terkandung dalam Malaysia Madani.
Kehadiran KPPA bukan sahaja memberi sokongan moral kepada pesara, tetapi juga menunjukkan bahawa kerajaan tidak melupakan jasa mereka walaupun telah bersara. Ini mencerminkan falsafah nilai ihsan, di mana kehadiran ketua jabatan bukan sekadar hadir secara simbolik, tetapi menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat yang pernah menyumbang kepada pembangunan negara.
Semasa majlis ini, logo H.E.M.A.T. juga diluncurkan sebagai usaha memperkukuh nilai dalam kalangan penjawat awam. Nilai-nilai ini merangkumi Hijrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran. Peluncuran logo ini turut melibatkan penekanan terhadap pentingnya pegawai awam membudayakan nilai-nilai yang memperkukuh amanah, profesionalisme dan kualiti dalam perkhidmatan awam.
Lawatan rasmi KPPA ke Terengganu memberikan satu gambaran jelas mengenai peranan penting ketua jabatan kerajaan untuk turun padang dalam menyantuni rakyat. Ia bukan sahaja membina jalinan yang lebih mesra antara penjawat awam dan masyarakat, tetapi juga membolehkan ketua jabatan mendapatkan maklumat langsung mengenai isu-isu yang dihadapi rakyat. Dengan maklumat ini, pelaksanaan dasar dan program kerajaan dapat disesuaikan dengan keperluan sebenar masyarakat setempat. – UTUSAN
NURULAINI Zamhury ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sungai Petani, Kedah.











