BEIRUT: Hezbollah berkemungkinan bersetuju dengan gencatan senjata di bawah syarat tertentu, ketika Israel memberi amaran kepada orang awam supaya meninggalkan lebih banyak bandar di Lubnan untuk memperluaskan serangan terhadap kubu kumpulan itu.
Pemimpin baharu Hezbollah, Naim Qassem berkata, pihaknya membuka pintu rundingan untuk gencatan senjata jika ditawarkan oleh Israel.
“Jika Israel memutuskan untuk menghentikan pencerobohan, kami akan menerimanya, tetapi di bawah syarat-syarat yang bersesuaian dan tepat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Hezbollah tidak akan ‘merayu’ untuk gencatan senjata dan memberi amaran pihaknya belum menerima cadangan yang boleh dipercayai.
Kenyataan itu muncul semasa Kabinet keselamatan Israel bermesyuarat untuk membincangkan mengenai kemungkinan gencatan senjata.
Pada masa sama, tentera Israel masih meneruskan serangannya di bandar Baalbel di timur Lubnan dan mendakwa membunuh seorang lagi komander kanan Hezbollah.
Naim mengambil alih kepemimpinan pergerakan Hezbollah selepas penyandang terdahulu, Hassan Nasrallah dibunuh oleh Israel dalam satu serangan udara besar-besaran, bulan lalu.
Dalam ucapan pertamanya sejak mengambil alih peranan penting itu, beliau menegaskan akan meneruskan rancangan penyandang terdahulu.
Beliau malah berikrar akan terus menentang serangan udara serta darat Israel di dalam Lubnan untuk beberapa bulan akan datang.
TUNTUTAN ISRAEL
Sementara itu, Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen berkata, Kabinet keselamatan negara sedang bermesyuarat untuk membincangkan syarat yang mungkin ditawarkan untuk mendapatkan gencatan senjata.
“Terdapat perbincangan, saya rasa ia akan mengambil masa,” kata Cohen kepada radio awam Israel.
Menurut Channel 12, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengadakan perbincangan dengan barisan menteri pada Selasa, mengenai tuntutan Israel sebagai balasan bagi gencatan senjata selama 60 hari.
Tuntutan tersebut termasuk supaya Hezbollah berundur ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel, supaya tentera Lubnan dikerahkan di sepanjang sempadan.
Mekanisme campur tangan antarabangsa akan diwujudkan untuk menguatkuasakan gencatan senjata, tetapi Israel juga menuntut jaminan kebebasan bertindak sekiranya berlaku ancaman.
“Terima kasih kepada semua operasi tentera beberapa bulan lalu dan khususnya minggu lepas. Israel boleh berada dalam kedudukan kukuh selepas keseluruhan kepemimpinan Hezbollah disingkirkan dan lebih 2,000 infrastruktur mereka terjejas,” kata Cohen.
Media Israel mendakwa, Penasihat Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk Asia Barat, Joe Biden, Brett McGurk dan Utusan Khas, Amos Hochstein akan ke kawasan itu untuk bertemu dengan Netanyahu dan pegawai Israel lain bagi membincangkan syarat gencatan senjata dengan Hezbollah.
Matlamat mereka adalah untuk melaksanakan perjanjian yang disediakan oleh Hochstein, yang didakwa berdasarkan kepada Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701.
Di bawah resolusi tersebut, yang menamatkan perang terakhir Israel dan Hezbollah pada 2006, hanya tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB (UNIFIL) akan dikerahkan di kawasan selatan Sungai Litani.
Perang di Lubnan bermula pada akhir bulan lalu, hampir setahun selepas Hezbollah memulakan pertempuran rentas sempadan ke Israel sebagai solidariti terhadap serangan Israel ke Gaza.
Pertempuran ini meragut sekurang-kurangnya 1,754 nyawa di Lubnan sejak 23 September, menurut kiraan AFP berdasarkan angka Kementerian Kesihatan.
Tentera Israel pula mendakwa kehilangan 37 askar di Lubnan sejak operasi darat bermula pada 30 September lepas.- AFP











