WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menggesa Korea Utara untuk menarik semula tenteranya dari Russia.
Ini susulan, dakwaan Washington sebelum ini mengenai 10,000 tentera Korea Utara dikerahkan untuk membantu menentang Ukraine.
Russia dan Korea Utara memperdalamkan pakatan politik serta ketenteraan mereka ketika perang Ukraine berlarutan.
Tetapi, langkah menghantar tentera Korea Utara untuk bertempur dengan pasukan Kyiv menandakan peningkatan ketara, sekali gus mencetuskan kebimbangan meluas oleh antarabangsa.
Susulan itu, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin dan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Kim Yong-hyun menggesa Pyongyang mengundurkan tenteranya dari Russia.
Austin berkata, AS akan terus bekerjasama dengan sekutu dan rakan kongsi untuk menghalang Russia daripada menggunakan tentera Korea Utara dalam pertempuran.
Dalam kenyataan bersama di Pentagon, Kim menegaskan penghantaran tentera Korea Utara ke Russia boleh mengakibatkan peningkatan ancaman keselamatan di semenanjung Korea.
“Ini kerana, tinggi kemungkinan Pyongyang akan meminta pemindahan teknologi dari Russia untuk membantu program senjatanya – termasuk senjata nuklear taktikal, peluru berpandu balistik antara benua dan satelit pengawasan.
“Ini sebagai balasan untuk penghantaran anggota tenteranya ke Moscow,” kata Kim.
Bagaimanapun, Kim tidak mengumumkan perubahan kepada dasar lama Seoul yang menghalang penjualan senjata ke zon aktif konflik termasuk Ukraine – pendirian yang tetap dipatuhi walaupun terdapat gesaan dari Washington dan Kyiv untuk mempertimbangkan semula.
Sebelum ini, Pentagon mendakwa sebilangan kecil tentera Korea Utara dikerahkan ke wilayah Kursk Russia, lokasi tentera Ukraine menyasarkan serangan darat sejak Ogos lalu.– AFP











