NEW YORK: Lebih 250,000 pembaca The Washington Post membatalkan langganan digital sejak akhbar itu mengumumkan tidak memihak mana-mana calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).
Keputusan pertama kali yang diumumkan Jumaat lalu, oleh penerbitnya, Will Lewis mengakibatkan akhbar itu kehilangan kira-kira 10 peratus pelanggan digitalnya, Selasa lalu.
Angka itu tidak mengambil kira mana-mana pelanggan baharu yang mungkin telah ditambah atau mana-mana pembaca yang melanggan semula.
Keputusan yang memecahkan tradisi selama beberapa dekad, kurang seminggu sebelum pilihan raya turut menyebabkan tokoh berprofil tinggi dan bekas kakitangan membatalkan langganan mereka.
Pembaca dan bekas kakitangan akhbar itu, termasuk bekas Editor Eksekutif, Marty Baron melabelkan keputusan itu sebagai ‘pengecut’.
Semasa kempen pilihan raya Rabu lalu, di Carolina Utara, bekas Presiden AS, Donald Trump mendakwa langkah itu adalah bukti pihak penerbitan secara senyap-senyap menyokongnya berbanding Kamala Harris.
“The Washington Post dan Los Angeles Times tidak menyokong sesiapa.
“Anda tahu apa yang mereka katakan sebenarnya? Mereka hanya menyokong Demokrat dan mengatakan Demokrat tidak baik. Mereka fikir saya melakukan kerja yang hebat,” kata Trump. -CNN











