Polis Australia temukan semula 40,000 syiling edisi terhad Bluey

Polis Australia temukan semula 40,000 syiling edisi terhad Bluey

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Polis Australia berjaya menemukan semula kira-kira 40,000 syiling edisi terhad bertemakan siri kanak-kanak popular, Bluey yang sebelum ini dilaporkan dicuri dari sebuah gudang di Barat Sydney.

Dilaporkan sebanyak 63,000 syiling yang dikeluarkan oleh Australian Mint telah dicuri pada Julai lalu, kira-kira dua bulan sebelum ia sepatutnya diedarkan dipasaran.

Menurut pihak berkuasa, 40,061 syiling tersebut berjaya ditemui pada Selasa lalu dalam satu serbuan di sebuah premis kira-kira 10 kilometer dari gudang tempat penyimpanan asal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Syiling edisi terhad yang bernilai A$1 (RM4.38) setiap satu, telah dicuri sebelum pelancaran rasminya.

Menurut Polis New South Wales (NSW), syiling-syiling itu telah dijual secara dalam talian dengan harga 10 kali ganda daripada nilai asalnya.

Susulan laporan kecurian, Polis NSW melancarkan pasukan siasatan khas yang diberi nama ‘Strike Force Bandit’, merujuk kepada nama watak bapa Bluey dalam siri tersebut.

Pada Ogos lalu, polis telah menangkap dua suspek, Steven Nielsen dan Nassar Kanj.

Nielsen merupakan pekerja di gudang itu dan Kanj pula disyaki menjadi rakan subahat dalam pencurian tersebut.

Seorang wanita dikenali sebagai Christina Vale turut ditangkap dan didakwa atas tuduhan memecah masuk serta menjual harta curi.

Syiling berwarna emas yang dikenali sebagai Bluey Dollarbucks itu memaparkan imej watak-watak daripada siri animasi terkenal keluaran firma animasi Brisbane, Ludo, dengan kerjasama BBC Studios dan Australian Broadcasting Corporation.

Siri yang berkisarkan kehidupan keluarga anjing baka Heeler telah menjadi fenomena global, disiarkan di lebih 60 negara termasuk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan China.

Di AS sahaja, siri Bluey telah distrim lebih 20 bilion minit menerusi Disney+ pada tahun lalu, menjadikannya antara 10 program paling banyak ditonton dalam talian. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini