Kawal stres bila belajar, nikmati hidup di universiti

Kawal stres bila belajar, nikmati hidup di universiti

LANGKAH untuk membendung rasa stres di universiti memerlukan satu kombinasi yang jitu antara pengurusan masa yang efektif, penjagaan diri yang teliti serta sokongan emosi yang stabil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIDUP sebagai pelajar universiti bukan sahaja tentang menimba ilmu dan mengejar ijazah, tetapi juga tentang menguruskan masa, tugasan dan kehidupan sosial. Tidak dapat dinafikan, tekanan atau stres ialah sesuatu yang biasa dialami oleh kebanyakan pelajar universiti terutamanya apabila beban akademik semakin meningkat. Namun, jika stres tidak ditangani dengan betul, stres boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan fizikal pelajar.

Pertama, urus masa dengan baik. Gunakan alat bantu seperti kalendar, aplikasi pengurusan masa atau buku catatan untuk menyusun tugasan mengikut keutamaan dan tarikh akhir penghantaran tugasan. Perancangan yang lebih awal dapat mengelakkan para pelajar daripada melakukan tugasan pada saat-saat terakhir, yang secara tidak langsung sering menjadi punca utama stres dalam kalangan pelajar. Membahagikan masa dengan seimbang antara belajar, berehat dan bersosial juga membantu pelajar mengekalkan kesejahteraan diri.

Kedua, amalkan gaya hidup sihat. Sebagai contoh, para pelajar perlu menjaga pemakanan yang seimbang, senaman berkala dan tidur yang mencukupi. Kajian menunjukkan bahawa makanan yang berkhasiat dan tidur yang mencukupi membantu otak berfungsi dengan lebih baik, meningkatkan daya fokus serta dapat mengurangkan keletihan badan. Selain itu, senaman juga merupakan salah satu cara terbaik untuk melepaskan stres. Aktiviti seperti berjalan kaki, berlari atau bersenam di gim boleh membantu dalam meningkatkan kecergasan dan mengurangkan tekanan.

Ketiga, cari sokongan dan jangan pendam perasaan berseorangan. Ada kalanya stres terasa begitu berat sehingga sukar untuk diatasi jika bersendirian. Dalam situasi ini, jangan pendamkan perasaan. Pelajar harus berani mencari sokongan sama ada daripada rakan sebaya, ahli keluarga atau kaunselor universiti. Kebanyakan universiti menawarkan perkhidmatan kaunseling secara percuma untuk pelajar yang memerlukan bantuan dalam menangani stres. Selain itu, berkongsi masalah dengan rakan yang dipercayai juga boleh meringankan beban emosi dan memberi perspektif yang lebih jelas tentang cara menyelesaikan masalah.

Keempat, ambil rehat yang cukup. Memperuntukkan masa untuk berehat dan melakukan aktiviti yang menggembirakan seperti menonton filem, bersosial dengan rakan atau menghabiskan masa dengan hobi juga dapat membantu mengurangkan tekanan.

Kelima, kekalkan hubungan sosial. Kehidupan universiti tidak seharusnya hanya berkisar tentang akademik sahaja. Melibatkan diri dalam aktiviti kelab dan persatuan serta acara kampus boleh membantu pelajar membina rangkaian sokongan, mengurangkan tekanan dan menambah pengalaman yang menyeronokkan sepanjang berada di universiti. Meluangkan masa bersama rakan atau menyertai aktiviti luar seperti berkelah atau bersukan juga dapat menjadi wasilah yang berkesan untuk melepaskan tekanan secara positif.

Langkah untuk membendung rasa stres di universiti memerlukan satu kombinasi yang jitu antara pengurusan masa yang efektif, penjagaan diri yang teliti serta sokongan emosi yang stabil. Sekiranya tiga kombinasi penting ini dapat diamalkan, pasti para pelajar dapat menikmati kehidupan universiti dengan lebih seimbang dan produktif. Sedarlah bahawa kesihatan mental sama pentingnya dengan pencapaian akademik. Tambahan pula, menjaga kesejahteraan diri merupakan kunci untuk berjaya dalam alam universiti dan kehidupan. – UTUSAN

AHMAD IDZWAN YUSUF
Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Kampus Pasir Gudang

AHMAD SAUFI AHMAD JAWAHIR
Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Kampus Pasir Gudang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×