GAZA: Selepas setahun berperang tanpa henti, hasil tuaian zaitun di Gaza dijangka terjejas teruk, manakala di Tebing Barat, golongan petani dibelenggu ketakutan untuk mengusahakan kebun mereka akibat serangan peneroka Israel.
Bagi generasi demi generasi, musim tuaian zaitun sudah menjadi nadi kehidupan dan budaya masyarakat Palestin.
“Kami gembira kerana musim zaitun telah bermula, tetapi pada masa sama kami berasa takut kerana masih dalam keadaan perang,” kata seorang pemilik ladang di Deir Al-Balah, Gaza Tengah, Rami Abu Asad.
Pekerja yang memetik buah zaitun dengan tangan sentiasa berwaspada, mendengar bunyi dron atau pesawat perang yang boleh menyerang tanpa amaran.
Perang yang berterusan telah memusnahkan sebahagian besar Gaza, dengan kira-kira 68 peratus kawasan pertanian di wilayah tersebut rosak akibat konflik, dan para petani tidak dapat membaja atau mengairi ladang mereka, menurut PBB.
Bagi Khaled Abdallah, yang memiliki ladang Zaitun di Ramallah, dia membuat keputusan sukar untuk tidak menuai zaitun pada musim ini di tanahnya berhampiran penempatan Beit El.
“Saya tidak terfikir untuk pergi ke tanah tersebut yang berdekatan dengan koloni kerana situasinya sangat berbahaya,” katanya yang akan memfokuskan untuk menuai zaitun di ladang lain di kampung Jifna, utara Ramallah.
Ladang zaitun menjadi sumber penting kepada ekonomi dan budaya Tebing Barat, namun pada masa sama ia telah menjadi medan pertembungan berdarah antara petani dan peneroka Israel yang merampas tanah sejak beberapa dekad lalu.
Operasi ketenteraan besar-besaran Israel di Jabalia, tahun lalu, mengorbankan 1,206 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan rasmi oleh AFP berdasarkan angka Israel.
Serangan balas Israel di Gaza telah meragut nyawa 42,603 orang, majoritinya orang awam, berdasarkan data daripada Kementerian Kesihatan di wilayah tersebut, yang dianggap sahih oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). -AGENSI











