JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka mengumumkan nama 109 menteri dan timbalan menteri dalam komposisi Kabinet Merah Putih yang akan membantu menerajui Indonesia untuk lima tahun akan datang.
Pengumuman itu dibuat di Istana Merdeka selepas Prabowo dan Gibran dilantik secara rasmi dalam majlis angkat sumpah jawatan di Kompleks Parlimen, Jakarta, pagi kelmarin.
“Dengan persetujuan ketua umum parti gabungan, kami menamakan kabinet ini sebagai Kabinet Merah Putih,” kata Prabowo di Istana Merdeka, Jakarta.
Kabinet Merah Putih itu terdiri daripada tujuh kementerian penyelaras dan 41 kementerian teknikal.
Dalam senarai yang diumumkan semalam, Kementerian Koordinator Hal Ehwal Politik dan Keselamatan diterajui Budi Gunawan manakala Kementerian Luar diketuai oleh Sugiono.
Prabowo mengekalkan Airlangga Hartarto dalam Kementerian Koordinator Hal Ehwal Ekonomi sementara Kementerian Pertahanan yang pernah diterajui beliau kini diserahkan kepada Sjafrie Sjamsoeddin.
Erick Thohir mengetuai Kementerian Perusahaan Milik Negara sementara Sri Mulyani Indrawati kekal memegang Kementerian Kewangan dan Sanitiar Burhanuddin dilantik sebagai Peguam Negara.-AGENSI










