KANSAS CITY: Muzium dan Memorial Perang Dunia Pertama Kebangsaan di Kansas City, Missouri membuka kapsul masa berusia 100 tahun yang mengandungi barangan seperti surat khabar dan sepucuk surat daripada Presiden Calvin Coolidge.
Kapsul masa itu ditanam di dalam Menara Memorial Liberty pada 1924, dengan arahan untuk membukanya selepas 100 tahun sebagai memperingati perasmian memorial tersebut.
Muzium tersebut mengeluarkan kapsul masa dari monumen pada musim panas, satu proses yang rumit kerana terpaksa menembusi lapisan batu kapur dan konkrit setebal 18 inci.
Pegawai muzium berkata, proses itu menjadi lebih mencabar kerana kehadiran filem nitrat di dalam kapsul, yang diketahui mudah terbakar.
Kandungan kapsul masa tersebut didedahkan semasa satu majlis pada hari Rabu.
Antara barangan yang terdapat di dalamnya termasuk salinan Perlembagaan Amerika Syarikat (AS), surat khabar, sebuah Alkitab dan salinan deklarasi perang AS dari April 1917.
Kapsul itu juga mengandungi surat, termasuk satu daripada Presiden Calvin Coolidge dan beberapa surat daripada komander Bersekutu yang menghadiri upacara pecah tanah Memorial Liberty pada 1921.
Selain itu, kapsul tersebut menyimpan satu plat cetakan dari akhbar Kansas City Star bertarikh 1 November 1921.
Kotak tembaga itu mempunyai pelbagai tandatangan daripada individu yang tidak dapat dikenalpasti, tetapi dipercayai milik anggota pasukan memasang kapsul masa tersebut.– AGENSI










