BELANJAWAN 2025 menjadi belanjawan pertama negara yang menyediakan peruntukan khusus untuk kenaikan gaji pekerja iaitu lebih 13 peratus bagi sektor penjawat awam mulai 1 Disember ini.
Peruntukan itu bagi membantu mencapai sasaran yang ditetapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), 2021-2025 dan kerangka Ekonomi Madani bahawa pampasan kepada pekerja iaitu pembayaran gaji daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlu mencapai sekurang-kurangnya 40 peratus menjelang 2025 dan 45 peratus menjelang 2033.
Sasaran itu masih jauh untuk direalisasikan, kerana berdasarkan kepada buku Tinjauan Ekonomi 2025, pampasan pekerja bagi 2024 dijangka mencapai 33.2 peratus, hanya meningkat 0.1 peratus daripada 33.1 peratus pada 2023.
Dengan peruntukan khas dari Belanjawan ini, pampasan pekerja dijangka meningkat sehingga ke 33.5 peratus pada tahun hadapan. Kementerian Kewangan berkata, peningkatan ini masih rendah berbanding sasaran dan menunjukkan bahawa pekerja masih belum mendapat manfaat sepenuhnya daripada kemajuan ekonomi.
Pampasan pekerja hampir mencapai 40 peratus pada 2020 iaitu sekitar 37.4 peratus namun angka itu jatuh kepada 35.1 peratus pada 2021 dan 32.3 peratus pada 2022. Peratusan itu sebenarnya lebih kurang sama dengan peratusan yang dicatat 10 tahun lalu, iaitu 35 peratus pada 2015 dan 31.7 peratus pada 2010.
Sasaran ini sebenarnya memerlukan sejumlah peruntukan yang besar, bukan sahaja bagi menampung kenaikan gaji penjawat awam, tetapi juga peruntukan bagi melaksanakan Dasar Gaji Progresif bagi sektor swasta yang memerlukan sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun. Malah, peruntukan ini mungkin perlu disediakan setiap tahun untuk memastikan pertumbuhan gaji pekerja terus meningkat di masa akan datang.
Cadangan untuk memansuhkan skim pencen persaraan bagi penjawat awam baharu yang akan mendapat pampasan melalui caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada masa akan datang mungkin dapat membantu dalam jangka panjang. Tahun lalu, kerajaan menanggung bayaran persaraan berjumlah RM32.1 bilion yang melibatkan 936,000 pesara.
Sebarang langkah penjimatan seperti penyasaran subsidi juga boleh menyumbang kepada peruntukan untuk menaikkan gaji pekerja di masa akan datang.
JURANG GAJI PEKERJA
Statistik dari Jabatan Perangkaan menunjukkan, purata gaji bulanan pekerja baru mencapai sekitar RM3,212 pada 2022. Survei Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia pada 2022 turut memaparkan pengagihan pendapatan syarikat yang tidak wajar antara pekerja di peringkat pengurusan atasan dengan pekerja bawahan, membuktikan jurang pendapatan yang besar dalam purata gaji pokok bulanan.
Rata-rata pekerja berstatus eksekutif, sama ada yang bekerja di syarikat kurang 50 pekerja sehingga lebih 1,000 pekerja, meliputi syarikat yang meraih pendapatan kurang RM10 juta sehingga RM500 juta ke atas, semuanya meraih purata gaji pokok bulanan sekitar RM4,000 ke bawah, manakala pekerja berstatus pengurus kanan dan eksekutif atasan menerima purata gaji pokok sekurang-kurangnya RM14,000 hingga RM18,000 sebulan.
Ini menunjukkan tiada perbezaan gaji yang ketara dalam kategori yang sama, walaupun berbeza saiz syarikat. Jadi, syarikat lebih besar tidak semestinya mengagihkan keuntungan dalam bentuk gaji yang lebih tinggi.
Kementerian Kewangan berkata, dari aspek perjawatan, pengurusan atasan menerima gaji 20 kali ganda lebih tinggi berbanding kategori bukan eksekutif dan 10 kali ganda lebih tinggi berbanding kategori eksekutif junior. “Sekiranya isu jurang gaji tersebut tidak ditangani, aspirasi untuk menaikkan lantai di bawah kerangka Ekonomi Madani sukar untuk dicapai dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Salah satu sebab wujudnya jurang pendapatan yang besar kerana gaji pokok permulaan untuk graduan lantikan baharu lulusan baik dalam dan luar negara masih antara RM2,400 hingga RM2,900 sebulan.
Bukan itu sahaja, pengiraan yang dibuat berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi menunjukkan 51.2 peratus gaji permulaan graduan berada di bawah RM2,000, diikuti dengan 41.8 peratus meraih gaji antara RM2,001 hingga RM5,000, dan selebihnya iaitu tujuh peratus meraih gaji RM5,000 ke atas.
Ini bermakna, graduan baharu menerima gaji hampir sama tanpa mengira sama ada graduan itu lepasan tempatan atau luar negara. Malah, lebih 50 peratus daripada graduan baharu menerima gaji permulaan di bawah RM2,000 sebulan sejak 10 tahun lalu.
Berdasarkan kepada rajah perbelanjaan minimum bulanan di bandar utama 2022/2023 yang disediakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), individu bujang yang bekerja di Lembah Klang memerlukan sekurang-kurangnya RM1,930 sebulan jika menaiki pengangkutan awam dan RM2,600 jika memiliki kenderaan sendiri, menunjukkan majoriti graduan baharu meraih pendapatan yang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan.
Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) tahun lalu menyifatkan, gaji permulaan yang rendah bukan sahaja menyebabkan kadar kenaikan gaji tahunan juga rendah, malah akan menyebabkan pekerja mengambil masa yang lebih lama untuk menikmati gaji yang mencukupi.
PEMBAHARUAN DASAR
Untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, Kementerian Kewangan mencadangkan pelaksanaan pembaharuan dasar, mentadbir urus gaji secara cekap dan bersepadu berdasarkan pendekatan seluruh negara, serta membangunkan garis panduan penetapan gaji yang standard untuk menambah baik struktur gaji di Malaysia.
Ini dibantu dengan peningkatan pertumbuhan ekonomi, pelaksanaan kadar baharu gaji minimum dan pelarasan gaji penjawat awam juga akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan pekerja. Ini termasuk menstrukturkan semula ekonomi, meningkatkan produktiviti, peningkatan kemahiran serta mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah.
Sejak Ogos tahun ini, sebanyak 2.5 juta pekerja asing berkemahiran rendah yang berdaftar berbanding 1.8 juta tahun lalu. Pekerja asing paling ramai dari Bangladesh (37.8 peratus) diikuti Indonesia (23.7 peratus) dan Nepal (16.7 peratus). Seramai 113,493 lagi merupakan ekspatriat, majoriti dari China (24.1 peratus), India (18.3 peratus) dan Filipina (8 peratus).
Persoalannya, jika kerajaan menyediakan sejumlah peruntukan kepada majikan untuk menaikkan gaji pekerja di peringkat eksekutif dan bukan eksekutif, adakah pengurusan atasan boleh memberi jaminan ia akan mengagihkannya secara sama rata?
Adakah tindakan kerajaan ini juga akan mendorong majikan untuk mengagihkan hasil pendapatan syarikat dengan sewajarnya? Majikan perlu buka mata.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










