Lebih 5,000 kawasan berisiko banjir

Lebih 5,000 kawasan berisiko banjir

CUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 5,647 kawasan berisiko banjir di seluruh negara dikenal pasti oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, daripada jumlah itu, Sarawak merekodkan jumlah kawasan risiko banjir tertinggi iaitu 1,066 lokasi, diikuti Sabah (798); Pahang (750), Johor (745) dan Kelantan (617).

Katanya, ia diikuti dengan Perak (286), Selangor (271), Kedah (260), Terengganu (258) dan Pulau Pinang (241).

“Selain itu, sebanyak 124 lokasi risiko banjir turut dikenal pasti di Melaka, Negeri Sembilan (120), Kuala Lumpur (73), Perlis (22) dan Labuan (17).

“Kita juga mengenal pasti kawasan berpotensi terjadinya kepala air melibatkan kawasan air terjun iaitu 201 lokasi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Mengulas lanjut, menurut Nor Hisham, lokasi paling banyak berisiko berlakunya kepala air adalah di Sabah (52), Kedah (39), Sarawak (19) serta Kelantan dan Terengganu masing-masing 18.

Jelas beliau, sebanyak 17 lokasi titik panas kepala air di Perak dan Negeri Sembilan diikuti Selangor (6)Perlis dan Johor masing-masing lima.

“Pahang mempunyai tiga kawasan lokasi berisiko kepala air serta Kuala Lumpur dan Melaka masing-masing satu.

“Sebagai persediaan menghadapi banjir besar, seramai 13,393 anggota bomba dalam keadaan bersiap-siaga dibantu 8,398 bomba sukarela dan 2,147 bomba bantuan dengan jumlah keseluruhan seramai 24,671 orang.

“Kira-kira 932 aset kenderaan termasuk marin, udara dan lori akan digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya.

Ditanya berhubung keperluan membekukan cuti anggota bomba, Nor Hisham berkata, ia akan dibuat berdasarkan lokasi dan keadaan banjir di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk menangguhkan percutian di kawasan-kawasan peranginan air menjelang musim Monsun Timur Laut ini.

Katanya orang ramai perlu lebih cakna dengan ramalan cuaca yang dikeluarkan agar dapat mengelak daripada terperangkap dalam sebarang bencana seperti tanah runtuh atau kepala air ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan air terjun atau di lereng-lereng bukit.

“Elakkan daripada mengunjungi kawasan riadah air kerana berisiko berlakunya kepala air, perubahan paras dan kederasan air yang sukar dibaca alirannya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×