Negaraku warisi kemegahan Malaysia

Negaraku warisi kemegahan Malaysia

LAGU Negaraku menuntut kita supaya sentiasa bersyukur, taat setia kepada raja dan negara. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARAKU,
Tanah tumpahnya, darahku…”

Ketika lagu ini berkumandang di mana sahaja anda berada, sebagai rakyat yang taat setia kepada raja dan negara, seharusnya, kita berdiri tegak dengan kedua-dua tangan berada di sisi dan menyanyikan dengan penuh semangat patriotik. Tindakan hormat melambangkan jiwa dan sanubari sebagai rakyat Malaysia yang setia.

Kita harus bangga dengan kejayaan negara mempertahankan kemerdekaan yang diangkat oleh bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, sejak 67 tahun lalu.

Kini tiba masanya untuk kita merobek sejarah lagu ini sebelum ditelan pelbagai lagu popular yang makin rancak dilaungkan oleh anak muda. Ia menjadi tanggungjawab bersama untuk membugarkan lagu Negaraku kepada bukan sahaja anak-anak muda tetapi segenap lapisan masyarakat yang berstatus warganegara Malaysia.

Perdana Menteri pertama itu telah membuat keputusan untuk mencipta sebuah lagu kebangsaan, memandangkan semua negeri mempunyai lagunya tersendiri. Beliau melancarkan sebuah pertandingan mencipta lagu. Alangkah hebatnya sambutan pada ketika itu, sebanyak 514 buah lagi diterima daripada seluruh dunia.

Sebuah jawatankuasa dibentuk yang dipengerusikan sendiri oleh beliau dan dibantu oleh Mustafa Albakri (Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu mewakili raja-raja, Tun Abdul Razak Hussein (Menteri Pelajaran), Tan Sri Yaakob Latiff (Pengarah Penerangan), D.S.P. Croft (Pengarah Muzik, Band Polis Persekutuan), Kapten Lenthall (Pengarah Muzik, Askar Melayu) dan A.T. Read (Pengarah Penyiaran Radio).

Gabungan tenaga dan kepakaran tujuh insan agung ini telah meneliti, mengkaji dan merumuskan tiada satu lagu pun yang dapat menjiwai kedaulatan negara. Tiada satu pun yang boleh mengangkat dan mendukung cita-cita negara sebagai negara yang bermaruah dan berdaulat untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan.

Dengan sifat tidak pernah mengalah, Tunku memanggil beberapa lagi pakar pengubah lagu terkenal antarabangsa. Di antaranya ialah Benjamin Britten, Sir William Walton, Gian Carlo Menetti dan Zubir Said. Namun mereka pun gagal memenangi hati Tunku. Tunku berpendapat lagu-lagu yang dicipta oleh mereka terlalu tinggi mutunya dan tidak sesuai untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan.

Akhirnya, jawatankuasa tadi membuat keputusan untuk mendengar kesemua lagu negeri. Pada 5 Ogos 1957, jawatankuasa tersebut memutuskan untuk menjadikan lagu negeri Perak sebagai lagu kebangsaan setelah empat buah lagu negeri dimainkan oleh pasukan pancaragam Polis Diraja pada masa itu.

Lagu Allah Lanjutkan Usia Sultan dipilih kerana ia mendukung unsur kemelayuan. Setelah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja Melayu, lagu itu dinobatkan sebagai lagu kebangsaan. Jadi jelas menunjukkan pemilihan yang begitu teliti dan terperinci dalam semua aspek oleh jawatankuasa tersebut sebelum lagu Negaraku diisytiharkan sebagai lagu kebangsaan.

Setelah proses pemilihan lagu tersebut, jawatankuasa itu memutuskan untuk mengubah dan memperbaiki tajuk dan seni kata lagu. Kerajaan Tunku pada masa itu menawarkan RM1,000 kepada pengubah lagu. Hadiah tersebut dikalungkan kepada Saiful Bahri Elyas dan menjadikan hasil ciptaannya sebagai lagu kebangsaan.

Lagu ini diwartakan dibawah Akta 808, Akta Lagu Kebangsaan1968 (disemak 2018). Lagu ini hanya menggunakan satu bahasa sahaja dan hanya boleh dinyanyikan dalam bahasa Melayu. Penggunaan bahasa selain bahasa Melayu dianggap tidak menghormati lagu kebangsaan. Ketika lagu kebangsaan dimainkan hendaklah berdiri dalam keadaan sedia sebagai tanda hormat.

Sesiapa yang melanggar secara sedar iaitu tidak berdiri dalam keadaan sedia boleh dikeluarkan waran tangkap. Jika disabitkan kesalahan individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100 atau dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi satu bulan.

INITIPATI
Lagu ini menekankan sebagai warganegara yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan sosiobudaya agar dapat hidup secara bersatu padu mengejar dan mengecapi kemajuan dalam pelbagai bidang sama ada di peringkat nasional mahupun anatarabangsa.

Selain itu, kita menadah tangan kepada-Nya, memohon rahmat dan kebahagian buat selamanya agar raja, rakyat dan negara sentiasa berada dalam keadaan sejahtera. Jika kesemua intipati ini berada dalam kesejahteraan maka kemakmuran negara dapat dicapai dan dirasai oleh setiap rakyat. Kita tidak mahu wujudkan sebarang prasangka atau persepi negatif dalam kalangan masyarakat majmuk ini. Kita adalah anak Madani, anak yang berjiwa merdeka.

Malahan dengan menyanyikan lagu Negaraku, kita juga sentiasa mendokan keselamatan negara terjamin. Cabaran globalisasi dan perlagaan dunia kecerdasan buatan (AI) menghendaki kita bersedia dari segi serangan dalam bentuk dunia siber. Jika dulu serangan dilakukan secara fizikal namun kini hala tuju dan perancangan anasir-anasir jahat telah berubah. Mereka mula merobek sistem pertahanan dan keutuhan sistem data kita. Jadi sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat, menjadi tanggungjawab kita bersatu dalam mempertahankan negara dari apa jua serangan alternatif.

Lagu Negaraku juga menuntut kita supaya sentiasa bersyukur, taat setia kepada raja dan negara. Pengorbanan para pemimpin terdahulu harus dikenang dan bugarkan dari masa ke masa. Kita tidak boleh menjadi bagai kacang lupakan kulit. Kita harus membakar semangat patriotisme dalam kalangan anak muda agar keamanan dan kedaulatan negara berdaulat ini dipelihara.

Kesanggupan para pejuang Tanah Melayu harus menjadi idaman anak muda. Hidupkan kembali sejarah kehebatan dan kegemilangan Kesultanan Melayu. Mereka merupakan pakar dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan Tanah Melayu.

Akhir sekali, Negaraku menuntut kesetiaan setiap anak bangsa. Dari sempadan Perlis sehinggalah sempadan Sabah adalah hak kita bersama. Kita harus berasa bangga dengan kekayaan dan kemakmuran negara. Jika berjaya menunjukkan dan menyemarakkan kesetiaan kita kepada negara, sudah tentu hasilnya dapat dituai bersama dan diagihkan bersama secara adil dan saksama.

Setia dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Setia dalam mempertahankan sempadan negara. Setia dalam menongkah arus pembangunan. Sudah pasti kesetiaan setiap rakyat Malaysia tidak berbelah sekali gus mampu menjadikan Malaysia sebaris dengan negara maju dengan acuan sendiri.

Ayuh kita perjuangkan keagungan dan kepentingan lagu Negaraku. Nyanyikan dengan penuh semangat. Berdirilah tegak sebagai tanda hormat. Nyanyikan dengan suara lantang. Biar air mata bergelimpangan ketika menguraikan setiap mutiara kata dalam lirik-lirik lagu.

Biar air mata itu menjadi bukti kesetiaan kita kepada raja, bangsa dan negara. Keagungan sesebuah negara diwarnai apabila lagu kebangsaannya dimainkan rakyatnya berdiri tegak dan menyanyikannya dengan penuh hormat dan megah.

Bayangkan suatu hari Negaraku dimainkan di pentas olimpik menandakan kita sebagai pemenang pingat emas.

Ayuh anak muda, terima cabaran ini untuk membuktikan kita antara yang terhebat di muka bumi ini.-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Akademik Kolej Matrikulasi Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN