Setahun konflik Gaza-Israel penuh derita, air mata

Setahun konflik Gaza-Israel penuh derita, air mata

SEORANG wanita Palestin meratapi kematian keluarganya dalm serangan masjid di Deir al-Balah di tengah Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza yang genap setahun hari ini meninggalkan derita dan sengsara berterusan ke atas rakyat Palestin dengan hampir 50,000 orang menjadi korban.

Konflik ‘Taufan Al-Aqsa’ yang bermula pada 7 Oktober 2023 selepas siri ketegangan antara kumpulan pejuang Palestin dan tentera rejim Israel, tidak kelihatan akan reda dengan ada menyifatkan Israel melakukan genosid atau pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Konflik berpanjangan ini turut menyebabkan ratusan ribu orang hilang dan kehilangan tempat tinggal selain kemusnahan infrastruktur yang amat dahsyat sehingga menyukarkan bantuan kemanusiaan sampai ke kawasan terjejas.

SEORANG wanita tidak dapat menahan kesedihan berikutan pengeboman Israel ke atas al-Bureij ketika dia berdiri di luar Hospital Aqsa Martyrs di Deir el-Balah, Gaza. – AFP

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, hampir 42,000 rakyat Palestin terkorban manakala lebih daripada 96,794 orang mengalami kecederaan serius akibat sera­ngan Israel.

Daripada jumlah korban, hampir 16,500 adalah kanak-kanak iaitu satu angka yang cukup me­nyayat hati dan menggambarkan penderitaan rakyat Palestin.

Sekurang-kurangnya 96,794 orang lagi mengalami kecederaan serius manakala lebih daripada 10,000 orang masih hilang dan dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan udara.

Dalam saat-saat kritikal ini, Malaysia turut bersuara dan meng­hulurkan bantuan apabila kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain menyumbang kepada bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

Persoalannya, sampai bilakah tragedi ini berterusan? Berapa lama lagi dunia akan membiarkan konflik ini berlarutan tanpa sebarang penyelesaian yang adil?

MALAYSIA HULUR BANTUAN KEMANUSIAAN

Malaysia menunjukkan komitmen membantu rakyat Palestin yang terkesan akibat konflik ini sebagai negara Asia pertama yang membawa pulang penduduk negara itu yang cedera untuk mendapatkan rawatan.

RAKYAT Palestin yang cedera bersama keluarga tiba dari Kaherah, Mesir bagi menerima rawatan di Malaysia di Pangkalan Udara Subang, Subang Jaya pada pertengahan Ogos lalu. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Pada 16 Ogos lalu, seramai 127 rakyat Palestin termasuk 41 orang yang mengalami kecederaan bersama 86 waris diterbangkan ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Rombongan tersebut tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira jam 2 petang dengan menaiki pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Mereka sebelum ini telah me­nerima rawatan awal di hospital di Mesir, namun Kerajaan Malaysia mengambil inisiatif untuk memberikan rawatan lanjut di negara ini.

Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia dalam membantu rakyat Pa­lestin melalui pelbagai bantuan kemanusiaan, kewangan dan perubatan.

Komitmen ini turut disalurkan melalui NGO yang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa di Gaza untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukannya.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Datuk Seri Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan oleh pelbagai agensi perlu diteruskan meskipun Israel dan negara bersekutu menentang perkara itu.

“Kami terus berusaha menghantar bekalan kemanusiaan masuk ke Gaza sama ada melalui Rafah atau kapal layar. Semua pihak perlu berusaha sedaya mungkin agar bekalan kemanusiaan masuk. Jika bantuan ini langsung terhenti maka sengsara rakyat di sana.

“Oleh itu, usaha menyalurkan bantuan perlu diteruskan. Setiap NGO tidak patut berhenti daripada menyampaikan bantuan untuk mereka yang sedang berdepan peperangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kamal Nasharuddin berkata, dalam keadaan sekatan yang dikenakan oleh Israel, bantuan antarabangsa menghadapi kesukaran untuk disalurkan dengan cepat dan berkesan.

“Namun, Malaysia tetap komited meneruskan usaha murni ini. Bantuan yang disalurkan adalah satu-satunya harapan bagi rakyat Palestin untuk terus bertahan dalam keadaan yang serba kekurangan ini,” katanya.

KRISIS KESIHATAN MERUNCING

Sejak setahun lalu, sektor kesihatan Gaza semakin merosot akibat serangan berterusan oleh tentera Israel yang menyebabkan kerosakan infrastruktur perubatan dan hospital.

Serangan terhadap pasukan penyelamat dan perubatan turut menyukarkan usaha memberikan bantuan segera apabila akses rawatan dan bekalan ubat-ubatan yang turut terjejas menyebabkan lebih 9,000 mangsa cedera sukar mendapatkan rawatan.

NURUL AIN HARON

Seorang rakyat Malaysia yang pernah terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron, 37, berkata, ibu-ibu hamil masih boleh menjalani pemeriksaan dan imbasan di hospital, namun akses kepada kemudahan kesihatan sangat terbatas.

“Kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik tidak mendapat rawatan yang diperlukan disebabkan kekurangan peralatan perubatan, dengan ramai orang dewasa menunggu saat untuk syahid.

“Keadaan ini menambah beban kepada krisis kemanusiaan di Gaza yang mana sokongan dan bantuan dari pihak luar amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa yang terancam,” katanya.

Malaysia turut menghantar enam pakar perubatan dari Mercy Malaysia ke Rafah untuk melaksanakan misi kemanusiaan pada 24 hingga 30 April lalu.

Sejak misi pertama yang dilaksanakan pada 19 Februari, lebih 2,000 pesakit telah menerima rawatan, mencerminkan komitmen berterusan Mercy Malaysia untuk memberikan bantuan penting kepada penduduk Gaza dan memberi harapan di tengah-tengah situasi yang kritikal ini.

SOKONGAN ‘SOLIDARITI’ DAN ‘BOIKOT’

Sokongan Malaysia terhadap Gaza melalui ‘gelombang solidariti’ turut melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Sepanjang konflik, rakyat Malaysia melakukan pelbagai aktiviti seperti perhimpunan, solat hajat, dan acara amal bagi menunjukkan sokongan kepada Palestin.

Sepanduk ‘Save Palestin’ menghiasi tempat-tempat utama di seluruh negara manakala kempen media sosial ‘Save Gaza’ turut mendapat sambutan yang meluas.

RAKYAT Malaysia menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin pada Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium Axiata, Kuala Lumpur, baru-baru ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Nurul Ain yang juga terlibat dengan NGO membantu me­nyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin berkata, ramai penduduk Palestin mengenali Malaysia de­ngan baik dan solidariti ini mencerminkan sokongan padu rakyat Malaysia.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usahanya membawa rakyat Palestin untuk mendapatkan rawatan di Malaysia,” katanya.

Pertubuhan masyarakat se­perti Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan MyCare giat mengumpul dana serta menjalankan kempen kesedaran bagi memberi maklumat tentang situasi di Gaza serta memastikan bantuan dihantar secara konsisten ke wilayah bergolak tersebut.

BANTUAN PENDIDIKAN

Dalam pada itu, Pengerusi Muslim Care Malaysia-Palestin (MCM), Ahmed Abu Ayesh An-Najjar berkata, kanak-kanak di Gaza tetap bersemangat menuntut ilmu walaupun dalam ke­adaan serba kekurangan.

Katanya, sebanyak 90 peratus sekolah di kawasan tersebut musnah atau rosak dengan 309 buah sekolah di sana rosak dan 209 daripadanya hancur sepenuhnya.

“Kami juga menyediakan bantuan seperti alat tulis, buku-buku, khemah dan menaja kelas al-Quran kepada anak-anak Pa­lestin.

“Kami juga telah memberikan bantuan pembelajaran di kem Al Aman Khan Younis. Namun, barangan sangat terhad dan kami hanya dapat menyediakan barangan seperti buku, alat tulis dan papan putih atau papan hitam,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Strategik Cinta Gaza Malaysia (CGM), Haikal Zulkefli berkata, selain bantuan asas, bantuan pendidikan turut diberikan kepada anak-anak di Palestin.

“Sekarang kami fokus memberi bantuan pendidikan iaitu mengadakan kempen ‘Kembali ke Sekolah’ serta menyediakan khemah untuk kelas-kelas belajar bagi peringkat rendah.

“Kami komited menyediakan pendidikan berkualiti kepada 2,500 kanak-kanak di Gaza yang berusia antara enam hingga lapan tahun dalam tempoh enam bulan,” katanya.

MASA DEPAN PALESTIN

Setahun telah berlalu sejak serangan besar-besaran Israel bermula namun penderitaan rakyat Palestin masih berterusan.

Mereka terus berjuang untuk kebebasan dan hak walaupun terpaksa hidup di bawah tekanan dan serangan berterusan.

Bagi rakyat Palestin, keamanan dan keadilan mungkin masih jauh daripada genggaman, namun sokongan masyarakat antarabangs termasuk Malaysia adalah satu sinar harapan bagi mereka.

Dunia diharap tidak akan melupakan penderitaan rakyat Palestin dan terus berusaha mencari penyelesaian yang adil dan menyeluruh bagi menghentikan konflik yang berpanjangan ini.

INFOGRAFIK

41,825
KEMATIAN

96,800
ORANG CEDERA

10,000
HILANG BAWAH RUNTUHAN

79 PERATUS
MASJID DIMUSNAHKAN

84 PERATUS
HOSPITAL ROSAK DAN MUSNAH

87,000
RUMAH MUSNAH

2 JUTA ORANG
HILANG TEMPAT TINGGAL

85 PERATUS
KEMUDAHAN AIR DAN KUMBAHAN TIDAK BERFUNGSI

LEBIH 17,000
KANAK-KANAK YATIM PIATU

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×