Mungkinkah deklamasi puisi akan menjadi semakin klise selepas ini, sedangkan pengkaryaan atau penghasilan puisi terus berkembang dan ramai pengkarya muda berjinak jinak dengan bidang tersebut.
Keindahan dalam penghasilan puisi bergantung kepada penggunaan bahasanya, metafora dan kekuatan maksud yang mendalam dalam menyampaikan mesej.
Namun begitu puisi sudah berkembang dan menghasilkan cabang karya sastera yang lebih menarik, apabila seni persembahan puisi sudah dipelbagaikan, malah ditambah dengan elemen-elemen dramatik dan persembahan muzik serta tarian dan apa sahaja gimik dan persembahan tarian.

Memang menjadi semakin menarik tetapi tidak semua mampu melakukannya, tetapi apabila Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik
Hari Malaysia (SDPAHM), langkah tersebut boleh dianggap mengiktiraf bidang puisi sebagai karya sastera dan medium menyampakan luahan perasaan dan mesej dalam secara berkias dan menggunakan bahasa indah
Baru-baru ini, menerusi tahun kelima penganjurannya, SDPAHM Ke-5, yang dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan Media Karangkraf, 15 pendeklamator tampil dengan gaya persembahan tersendiri , memukau khalayak dengan penyampaian kreatif dan menyentap perasaan.
Seramai 15 deklamator yang mewakili negeri-negeri dan Wilayah-wilayah Persekutuan bertanding dalam peringkat akhir dengan gaya tersendiri.
Meskipun mereka tidak semestinya membaca puisi karya sendiri, tetapi gaya persembahan yang dipentaskan menjadikan karya puisi lebih menarik.
Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata, tahun ini merupakan penganjuran peringkat kebangsaan ke-5, dengan setiap negeri dan Wilayah Persekutuan di seluruh negara mengadakan pertandingan memilih wakil masing- masing.
Seramai lebih 200 penyertaan diterima di seluruh negara yang kebanyakannya terdiri dalam kalangan remaja pelbagai kaum tetapi hanya seramai 15 orang johan peringkat negeri dan wilayah persekutuan bertanding di peringkat kebangsaan.

Selepas diadakan saringan, seramai lapan peserta sahaja terpilih ke pertandingan akhir.
Persembahan pembukaan adalah dikir barat yang dianggotai murid-murid Wesley Methodist International School yang seratus yang terdiri daripada seramai 47 pelajar bukan Melayu, iaitu pelajar-pelajar sekolah antarabangsa.
Menurut Radzuan, sayembara deklamasi puisi artistik ini berbeza dengan sayembara-sayembara yang dianjurkan pihak lain.
“Atas dasar ingin mengadakan pembaharuan atau reformasi dalam mendeklamasi puisi, PEMUISI telah merancang sayembara ini, mereka khas dan merancang kaedah persembahan puisi artistik bercorak patriotik yang diambil daripada buku teks sayembara, Antologi Pohon Merdeka terbitan PEMUISI.
“Artistik merujuk kepada segala unsur kreatif seni untuk tujuan memantapkan sesuatu persembahan supaya pentas menjadi lebih hidup.
“Unsur-unsur artistik adalah segala sesuatu yang dimanfaatkan dalam sesuatu persembahan untuk menjadikannya lebih berseni dan berkesan. Pelbagai elemen teaterikal dan muzikal termasuk penggunaan peralatan bantuan persembahan seperti prop, prop orang hidup, slaid, lagu-lagu, alat-alat muzik termasuk live music, gambar-gambar dan lain-lain turut dimasukkan,” terangnya.
Kata beliau, cara persembahan juga dirancang meliputi kebebasan membuat persembahan dengan kreativiti tersendiri, tetapi bersesuaian dengan puisi yang dideklamasikan.
Menurut beliau lagi, semua peserta tahun ini diuji dengan pemilihan pentas yang lebih kecil dan selantai dengan penonton, tidak seperti tahun-tahun yang lepas di mana kedudukan pentas yang besar dan lebih tinggi.
Ini kerana persembahan deklamasi puisi artistik boleh disampaikan dalam apa jua keadaan, asalkan dapat menyampaikannya dalam bentuk artistik dan memberi kesan yang mendalam kepada penonton.
Dalam pada itu kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Yang Terutama Tun Seri Setia, Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam merupakan satu penghormatan kepada golongan pemuisi dan mengangkat martabat puisi sastera tanah air.
Beliau yang merasmikan acara tersebut melahirkan keyakinan bahawa kaedah perjurian dalam SDPAHM telah dikaji dengan teliti yang menghasilkan natijah yang baik dan merupakan suatu reformasi dalam pendeklamasian puisi di Malaysia.
“Inilah satu reformasi dalam deklamasi puisi tanah air dan ternyata sayembara deklamasi puisi artistik ini ada kelainan daripada sayembara yang dianjurkan oleh pihak lain,” ujarnya.
Sementara itu, peserta Selangor, Ahmad Saidun Mohamad Mokhtar diumumkan sebagai johan penerima Hadiah Platinum, peserta dari Terengganu, Nor Atiekah Hidayah Hussain (Naib Johan) atau Hadiah Emas manakala tempat ketiga atau hadiah perak disandang oleh peserta Perlis, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman. – UTUSAN










