Kalau hubungan tidak baik, jangan ‘sentuh’ buat jenaka

Kalau hubungan tidak baik, jangan ‘sentuh’ buat jenaka

SARIMAH IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Artis serba boleh, Che Puan Sarimah Ibrahim menasihati mana-mana pengacara untuk menghindari sebarang topik atau jenaka yang berkemungkinan mengguris perasaan orang lain.

Jelas Sarimah, 46, walaupun interpretasi lawak adalah di luar kawalan pengacara majlis, mereka sepatutnya bijak menapis diri daripada mengeluarkan kenyataan sensitif lebih-lebih lagi jika mempunyai hubungan tidak baik dengan individu dimaksudkan.

“Walaupun majikan sudah berikan garis panduan mengelola majlis, namun pengacara perlu bijaksana dan peka dengan isu yang dianggap sensitif oleh sesetengah pihak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai pengacara, kita berisiko tinggi untuk menyinggung orang lain. Apa yang kelakar bagi kita mungkin tidak kelakar bagi orang lain. Jika ada yang terasa, kita lebih mudah terima respons melalui media sosial.

“Ikut logik, jika kita ada masalah dengan individu tertentu, jauhkan diri daripada buat sebarang kenyataan yang menyebabkan mereka terasa.

“Jangan sentuh jika mereka menjadi sensitif. Jika tidak, anda ibarat menyimbah minyak ke dalam api,” katanya.

Sarimah mengulas mengenai hubungan pengacara menjadi tegang setelah salah seorang daripada mereka mengeluarkan kenyataan yang menyinggung semasa mengelolakan sebuah program hiburan.

Dalam pada itu, kata Sarimah, adalah lebih baik sekiranya mereka meminta maaf agar perkara ini tidak dipanjangkan.

“Pengacara juga manusia yang tidak sempurna. Jika kita sudah terlanjur bicara, kita boleh minta maaf.

“Kalaupun tindakan kita itu tiada niat mengguris perasaan orang lain, saya berpendapat kita minta maaf sahajalah,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Sarimah turut mengingatkan walaupun industri pengacaraan di Malaysia kecil berbanding negara luar, akan selalu ada rezeki yang mencukupi buat semua.

“Dalam industri ini semuanya ibarat roda, ada hari kita di atas dan di bawah. Kita bukan hadapi masalah kekurangan kerja tapi lebih kepada sikap tidak yakin akan rezeki.

“Perkara ini membuatkan kita rasa diri tidak bagus. Yakinlah rezeki tidak lari, jangan dengki dengan rakan kita,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini