KUALA LUMPUR: Memuji kejayaan pelakon, Siti Saleha, yang meraih Anugerah Bintang Asia Terbaik di Korea Selatan baru-baru ini, aktres dan pengacara, Scha Alyahya, 42, yakin Malaysia sejak dahulu mempunyai artis yang bermutu dan berbakat setanding dengan negara luar.
Bagaimanapun, kata Scha, kehebatan dan kualiti yang ada pada artis tempatan jarang dipandang atau diangkat oleh masyarakat sendiri sehinggalah ada pihak luar yang berbuat demikian.
“Itulah budaya orang kita, bila pihak luar julang bakat anak-anak seni tempatan, barulah hendak sokong. Bagi saya, siapa lagi yang nak sokong bakat anak tempatan kalau bukan orang kita sendiri? Cukup susah untuk buka mata orang kita untuk hargai bakat tempatan sedangkan ramai yang bagus-bagus.
“Saya faham, kita kekurangan platform seperti Netflix dan sebagainya, tetapi kita sedang berkembang maju juga. Banyak filem yang dihasilkan sekarang bukan sahaja untuk tunjuk kepada penonton tempatan, tetapi untuk orang luar.
“Ini adalah inisiatif produksi dan pihak-pihak tenaga kreatif yang sedang cuba mengetengahkan bakat dan karya anak seni kita. Sokongan orang tempatan terhadap bakat tempatan penting, jangan sudah raih anugerah di luar negara baru kita nak claim (akui),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, Scha juga mengambil contoh bagaimana selebriti tempatan, Henry Golding, yang akhirnya mengukir populariti di Hollywood sedangkan sebelum itu dia tidak begitu dihargai oleh masyarakat di sini.
“Tengok sahaja Henry Golding, bagaimana dia berjaya mencipta kejayaan di luar negara kini. Sebelum ini, semasa dia berada di Malaysia, orang buat tak nampak sahaja bakat yang dia ada.
“Sebab itu, bila ada anak muda yang cakap dia bercita-cita nak menang anugerah di luar negara, Oscars contohnya, kita jangan perlekehkan. Kita kena sokong dan percaya dia mampu buktikan.
“Saya tengok orang kita ini suka pandang golongan selebriti tempatan pada kasta terendah dalam hierarki sosial masyarakat. Kita panggil artis pun dengan panggilan retis. Nampak tak macam mana persepsi dan perspektif mereka terhadap selebriti?,” katanya.
Selain itu, Scha juga percaya penghargaan dan sokongan wajar diberi kepada bakat-bakat seni tempatan kerana secara tidak langsung golongan anak seni juga membawa nama negara ke persada antarabangsa.
“Sebab itu saya percaya, budak-budak baharu atau pelapis dalam industri seni ini lebih berani. Merekalah yang akan membawa gelombang baharu dalam industri seni ini. Sudah tiba masa kita bawa nama, bakat dan jenama diri hingga ke luar negara,” katanya. –UTUSAN











