WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berdepan ancaman dari Russia, Iran dan China, yang didakwa cuba mempengaruhi Pilihan Raya Presiden 2024 dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menyebarkan maklumat palsu serta mencetuskan perpecahan.
Laporan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) mendakwa Russia memanipulasi naratif mengenai kemasukan pendatang ke AS dalam usaha mencetuskan perpecahan, selain menggunakan AI generatif untuk mencipta laman web palsu menyerupai saluran media yang berpangkalan di negara itu.
Menurut laporan, Iran juga menjadi semakin agresif dalam usaha pengaruh asingnya, dengan menyamar sebagai aktivis dalam talian untuk menggalakkan protes berhubung konflik di Gaza.
AS semakin menghampiri kemuncak pilihan raya presiden yang menyaksikan persaingan sengit antara calon Demokrat, Kamala Harris dan wakil Republikan, Donald Trump.
Fasa ini berpotensi menyemarakkan lagi ketegangan partisan dan memberi peluang kepada musuh asing untuk mengganggu proses demokrasi AS.
Penilaian DHS menjangkakan, Russia, Iran dan China akan menggunakan gabungan taktik subversif, jenayah dan paksaan untuk mencari peluang baharu bagi melemahkan keyakinan terhadap institusi demokrasi AS dan perpaduan sosial domestik.
Ini kerana, ekstremis domestik juga merupakan ancaman serius kepada negara itu, susulan dua cubaan pembunuhan yang dihadapi Trump sebelum ini, kata laporan.
DHS menjangkakan, ekstremis tempatan akan cuba melakukan tindakan ganas dengan niat menakut-nakutkan pengundi, calon dan petugas pilihan raya serta mengganggu proses pemilihan.
Laporan itu berkata, di antara pelaku, individu bersendirian yang didorong oleh ketidakpuasan hati berkaitan isu perkauman, agama, jantina atau pandangan antikerajaan adalah ancaman terbesar.– REUTERS










