BEIRUT: Serangan Israel terhadap Hezbollah mendorong beberapa ahli politik terkemuka Lubnan menawarkan diri untuk mengisi jawatan presiden yang kosong sejak dua tahun lalu.
Usaha itu adalah untuk memulihkan semula pemerintahan negara lumpuh itu ketika ia bergelut dengan konflik yang semakin memuncak.
Lubnan tidak mempunyai presiden atau Kabinet yang diberi kuasa sepenuhnya sejak Oktober 2022 kerana perebutan kuasa, di mana Hezbollah memainkan peranan penting.
Bersama sekutunya, Hezbollah menegaskan jawatan tersebut, yang dikhaskan untuk seorang Kristian Maronit, hari diberikan kepada sekutu Kristian mereka, Suleiman Frangieh.
Susulan kematian pemimpinnya, Hassan Nasrallah, jawatan presiden kembali menjadi tumpuan minggu ini apabila Speaker Parlimen, Nabih Berri – sekutu utama Hezbollah – memberitahu Perdana Menteri, Najib Mikati, beliau menyokong pemilihan sebuah presiden yang tidak dicabar mana-mana pihak.
Ini menunjukkan peluang kompromi dalam mengakhiri kebuntuan politik yang berlarutan.
Seorang pegawai Hezbollah memberitahu Reuters, kumpulan itu mewakilkan Berri untuk berunding bagi pihaknya berhubung jawatan presiden.
Jawatan presiden diputuskan melalui undian di Parlimen Lubnan yang mempunyai 128 kerusi.
Tiada satu pun gabungan politik mempunyai kerusi mencukupi untuk menentukan pilihan mereka secara unilateral, bermakna persefahaman antara blok saingan diperlukan untuk memastikan pemilihan calon.
Selepas mesyuarat pada Rabu dengan Berri dan pemimpin Druze, Walid Jumblatt, Mikati membacakan kenyataan bersama yang menyeru pemilihan presiden konsensus yang akan meyakinkan semua pihak dan meredakan kebimbangan mereka.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menamakan sebarang calon.- REUTERS











