PERGOLAKAN sistem pendidikan negara kita umpama pergolakan rumah tangga artis: nikah-cerai-nikah lain-cerai-rujuk yang pertama-cerai dan seterusnya. Yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Dalam kes sistem pendidikan, murid-murid yang menjadi mangsa.
Pergolakan bermula dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Setelah mendapat tentangan daripada pelbagai pihak, ia dimansuhkan dan Pembelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu pula. Untuk menjaga hati mertua berbahasa orang putih dan mertua berbahasa Melayu, diperkenalkan pula Program Dwi Bahasa (DLP). Kemudian, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dimansuhkan dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD). Sekarang, ada pihak yang mencadangkan agar UPSR dan PT3 diwujudkan semula.
Jangan buat sesuatu dasar dan polisi pendidikan secara trial and error. Kalau tidak berjaya, kita cuba yang lain pula. Berapa kali kena cuba untuk dapatkan yang betul? Jangan jadikan murid sekolah sebagai bahan uji kaji.
Pendidikan di peringkat rendah, menengah dan tinggi saling berkait. Misalnya dalam matematik, murid perlu memahami proses campur, tolak, darab dan bahagi di peringkat rendah untuk diaplikasikan dalam subjek matematik di peringkat menengah. Kemudian di peringkat menengah, murid perlu memahami trigonometri untuk diaplikasikan dalam subjek kalkulus di peringkat universiti. Apa yang dipelajari di peringkat universiti akan diaplikasikan pula dalam bidang pekerjaan.
Jika kefahaman murid dalam sesuatu subjek itu diukur dan dinilai melalui peperiksaan semata-mata, adakah kecemerlangan seseorang murid dalam peperiksaan itu cerminan kepada kefahaman mendalam terhadap ilmu ataupun kecemerlangannya berdasarkan kepada latih tubi dan hafalan terhadap soalan-soalan jangkaan? Ada kalanya murid terpaksa meneka jawapan dalam kertas soalan pelbagai pilihan (MCQ) untuk mengelak daripada tidak mendapat markah langsung. Kalau betul tekaannya, adakah ini bermaksud murid itu memahami topik berkaitan soalan itu?
Kecemerlangan seseorang murid itu tidak harus dinilai berdasarkan bidang akademik sahaja. Sebagai contoh, murid A ialah seorang yang bijaksana dan pandai mengira. Murid B pula boleh mengira, tetapi lambat. Namun, murid B mempunyai sikap positif, ceria, sopan santun, merendah diri dan bijak tawar menawar.
Murid tidak sepatutnya diajar untuk menjadi seperti robot yang cemerlang dalam bidang akademik semata-mata. Elemen kemanusiaan harus disuntik ke dalam jiwa raga mereka untuk menempuh kehidupan yang berliku dan mencabar.
Buatlah dasar dan polisi pendidikan agar murid berasa gembira pergi ke sekolah untuk belajar tanpa tekanan, mendapat ilmu yang bermanfaat dan dapat bergaul dengan kawan-kawan sebagai satu proses kehidupan. Jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.
Yang parahnya, jika kita masih lagi mengejar sesuatu yang memang tidak akan dapat dan yang berciciran pula dikutip oleh orang lain. – UTUSAN
MARISSA QT
Kuala Lumpur










