Lanjutan moratarium beri manfaat 262,000 Sahabat AIM - Utusan Malaysia

Lanjutan moratarium beri manfaat 262,000 Sahabat AIM

Lajim Ukin (kanan) menyampaikan Bakul Kasih AIM kepada salah seorang penerima pada majlis penyampaian Bakul Kasih AIM sambil diperhatikan oleh Isnin Aliasnih (dua kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penangguhan bayaran balik pinjaman ditawarkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan memberi manfaat kepada 262,000 Sahabat di seluruh negara berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga Disember ini.

Penangguhan bayaran balik itu berkuatkuasa segera bagi tempoh lima minggu bermula 9 November hingga 6 Disember 2020 dengan proses penangguhan bayaran sebanyak tiga kali dan moratorium tambahan maksimum selama satu tahun.

Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin berkata, kesan penangguhan itu memberi kesan langsung kerugian membabitkan RM17.7 juta kepada AIM.

“Sepanjang PKPB, keputusan moratorium ini membabitkan penangguhan bayaran balik pinjaman berjumlah RM164 juta sehingga tamat tarikh PKPB pada Disember ini.

“Penangguhan bayaran secara automatik ini juga sebagai kemudahan kepada Sahabat AIM terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 dan dibuka sepanjang tahun ini hingga 2021.

“Ini juga sebahagian dari inisiatif AIM untuk membantu Sahabat bahkan menjadi tanggungjawab bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka terjamin saat tempoh sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Bakul Kasih AIM, di Dewan Terbuka Kampung Kaundo Kebatu, Beaufort, Sabah.

Hadir sama, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz dan Pembantu Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan dan Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Isnin Aliasnih.

Lajim berkata, permohonan tangguh bayaran balik bagi kali pertama dan kedua tidak akan menjejaskan had pinjaman Sahabat AIM selain tiada caj faedah dikenakan terhadap penangguhan bayaran balik.

Beliau berkata, bagi memudahkan operasi pengendalian perkhidmatan di 92 cawangan AIM di seluruh negara, kesemua pegawai akan berkerja secara dua sesi.

“Sepanjang tempoh PKPB, operasi pejabat berjalan seperti biasa namun dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang bagi memastikan penjarakan sosial di pejabat dapat diamalkan tanpa mengetepikan perkhidmatan ditawarkan.

“Selain itu, bagi memastikan Sahabat mendapat bimbingan perniagaan sewajarnya sepanjang tempoh PKPB, program M8 diketengahkan di setiap negeri.

“Program ini memerlukan setiap pegawai perkhidmatan yang bertugas untuk bersemuka dan menyampaikan perkhidmatan bimbingan perniagaan,” katanya.

Selain itu, katanya sepanjang tempoh PKPB AIM turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan menerusi Program Bakul Kasih AIM bakal diadakan di setiap negeri.

“Ketika ini, sebanyak 1,500 Bakul Kasih AIM diedarkan di sekitar Sabah bagi membantu meringankan bebanan ditanggung golongan sasaran terjejas akibat pandemik Covid-19.

“AIM akan mempergiatkan lagi program ini bagi membolehkan penyampaian barangan keperluan ini kepada lebih ramai masyarakat di seluruh negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya