Anwar hubungi PM Thailand isu pertikaian sempadan Thailand-Kemboja

Anwar hubungi PM Thailand isu pertikaian sempadan Thailand-Kemboja

ANWAR Ibrahim beramah mesra ketika hadir makan tengahari di Restoran Pak Zain Patin, Jalan Kampung Orang Asli Bukit Dugang di Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, beliau menghubungi rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra hari ini berhubung isu pertikaian sempadan Thailand dan Kemboja.

Selaku Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri berkata, negara mengambil maklum situasi yang berlaku di kedua-dua negara itu.

“Nanti kita akan keluarkan kenyataan (mengenai hasil perbincangan dengan Paetongtarn Shinawatra),” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Ikhwan, Desa Pinggiran Putra dekat sini hari ini.

Pada 28 Mei lalu, pasukan tentera Thailand dan Kemboja terlibat dalam pertempuran singkat di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand dan wilayah Preah Vihear, Kemboja yang dilaporkan telah mengorbankan seorang askar Kemboja.

Kemboja kemudian mengumumkan hasrat untuk membawa pertikaian sempadan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Thailand turut dilapor mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan isu sempadan dengan Kemboja melalui usaha damai mengikut undang-undang antarabangsa serta perjanjian dan memorandum yang berkaitan.

Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN