MUSCAT: Iran dan Amerika Syarikat (AS) memulakan rundingan pada Jumaat di Oman, dalam usaha merapatkan jurang perbezaan berhubung program nuklear Teheran.
Namun, pertikaian mengenai peluasan skop perbincangan berpotensi menggagalkan diplomasi dan mencetuskan satu lagi konflik di Asia Barat ketika Washington enggan menolak kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Republik Islam itu.
Iran menegaskan rundingan yang difasilitasi Oman itu hanya akan tertumpu kepada program nuklearnya, manakala pula AS mahu perbincangan turut merangkumi sokongan Teheran terhadap kumpulan militan di rantau ini serta program peluru berpandu balistiknya.
Rundingan tersebut merupakan yang pertama antara kedua-dua musuh itu sejak AS menyertai perang Israel dengan Iran pada Jun tahun lalu melalui serangan ke atas tapak nuklear.
Utusan khas Presiden Donald Trump ke Asia Barat, Steve Witkoff dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengetuai delegasi masing-masing dalam rundingan di Oman, yang bertindak sebagai pengantara antara kedua-dua negara.
Menantu Trump, Jared Kushner yang terlibat dalam usaha pengantaraan gencatan senjata di Gaza, turut dijadualkan mengambil bahagian dalam rundingan itu.
Media kerajaan Iran melaporkan rundingan sudah bermula, dengan Araghchi menegaskan, Teheran mengekalkan kesediaan penuh untuk mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan nasional daripada sebarang tuntutan berlebihan atau tindakan melulu AS.
“Iran menyertai diplomasi dengan mata terbuka dan ingatan yang jelas terhadap peristiwa setahun lalu. Kami berunding dengan niat baik dan berpegang teguh pada hak kami.
“Komitmen mesti dihormati. Kedudukan setara, saling menghormati dan kepentingan bersama bukan sekadar retorik. Ia adalah keperluan dan asas kepada perjanjian yang berkekalan,” katanya menerusi platform X.
Iran sebelum ini memaklumkan tidak akan melepaskan sebarang peluang menggunakan diplomasi demi memelihara keamanan, sambil menyatakan harapan agar Washington menyertai rundingan dengan tanggungjawab, realisme dan kesungguhan.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, delegasi AS pula bercadang meneroka matlamat kapasiti nuklear sifar bagi Iran sambil memberi amaran Trump mempunyai banyak pilihan selain diplomasi.
Menjelang rundingan itu, timbul perbezaan pandangan mengenai sama ada pertemuan tersebut perlu melibatkan negara-negara serantau dan membincangkan sokongan Teheran terhadap kumpulan militan serta program peluru berpandunya, dua kebimbangan utama AS yang ditolak Iran.
Memetik pegawai Iran yang tidak dinamakan, New York Times melaporkan, AS bersetuju rundingan itu tidak akan melibatkan pelaku serantau dan walaupun tumpuan diberikan kepada isu nuklear, perbincangan mengenai peluru berpandu dan kumpulan militan tetap akan diadakan dengan matlamat merangka pelan perjanjian.
Akhbar The Wall Street Journal memetik satu sumber melaporkan ketua tentera AS di Asia Barat dijangka menyertai rundingan terbaharu itu.










