KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Thailand, Supot Tumpracha mengakui libasan ‘maniam’ yang popular dalam kalangan pemain Malaysia lebih berbahaya berbanding rejaman gulung.
Supot berkata, libasan kalih (maniam) sebenarnya sukar untuk dihadang kerana perejam Malaysia boleh menentukan arah bola selain boleh lari daripada hadangan pihak lawan.

“Sekarang komunikasi pemain Malaysia sangat baik, pemain juga bagus selain libasan ‘sunback’ sangat bahaya dan sukar untuk ambik atau dihadang,” katanya kepada pemberita.
Pandangan Sapot itu terbukti selepas Thailand tumpas dalam acara beregu dan regu kepada Malaysia di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang menggunakan perejam ‘maniam’ pada pentas final Rabu lalu.
Dalam acara beregu Noraizat Nordin yang bergandingan dengan Aidil Aiman Azwawi menggunakan libasan ‘maniam’ untuk menumpaskan Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut 17-16, 15-13 pada aksi final acara beregu.
Azlan Alias bersama Farhan Adam (apit kiri) serta Syahir Rosdi dan Haziq Hairul Nizam (tekong) juga turut menggunakan libasan ‘maniam’ ketika meraih kemenangan 15-8, 15-12 ke atas Thailand dalam acara regu.- UTUSAN










