PM berucap pada pembukaan 'Visi Baharu Pembangunan Global'

PM berucap pada pembukaan ‘Visi Baharu Pembangunan Global’

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi bermula hari ini akan menyampaikan ucapan pada sesi Plenari Pembukaan bertemakan ‘Visi Baharu Pembangunan Global’ bersama pemimpin negara lain.

Mesyuarat khas itu bermatlamat untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai cabaran global berkaitan isu kemanusiaan, iklim dan ekonomi, lapor Bernama.

Bertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan’, mesyuarat dua hari yang disertai lebih 1,000 pemimpin dunia daripada 92 negara itu adalah termasuk ketua negara dan kerajaan, ahli pemikir daripada sektor awam dan swasta, selain organisasi antarabangsa, institusi akademik dan badan bukan kerajaan (NGO).

Program WEF termasuk Dialog Strategi Serantau Bersama mengenai ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), manakala Anwar dijangka menyampaikan ucapan perasmian, mengambil kira Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

Perdana Menteri juga akan menghadiri program Dialog Strategi Negara mengenai Malaysia dan beliau akan berinteraksi dengan pemimpin industri dunia, bagi mengetengahkan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia.

Semasa lawatan kerja itu, Anwar juga akan bertemu dengan ketua-ketua negara dan kerajaan, bagi mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama dua hala, selain bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa, termasuk rakan sejawatnya dari Jordan, Bisher Hani Al-Khasawneh dan Presiden Rwanda, Paul Kagame.

WEF menyatakan, mesyuarat khas itu akan membolehkan dialog komprehensif ke arah memanfaatkan kerjasama global untuk pembangunan ekonomi dan menggalakkan peralihan tenaga global yang menyokong kelestarian.

Mesyuarat itu juga akan memajukan inisiatif forum utama di rantau ini dan lebih luas lagi, dengan matlamat merapatkan jurang Utara-Selatan yang semakin meningkat, yang telah diperluaskan lagi oleh isu seperti dasar ekonomi baru muncul, peralihan tenaga dan kejutan geopolitik.

Sementara itu, Presiden WEF, Borge Brende pada Sabtu lalu dilaporkan berkata, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken juga dijangka hadir pada mesyuarat dihoskan Arab Saudi itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN