PARIS: Pihak berkuasa polis di Paris semalam mengeluarkan perintah larangan mengadakan sebarang bentuk protes berhampiran 10 sekolah menengah serta lima universiti berikutan gerakan sekatan pintu masuk yang berlarutan sejak dua bulan lalu.
Perintah pentadbiran itu melarang sebarang perhimpunan atau perarakan tanpa kebenaran dalam lingkungan jarak 100 meter dari premis institusi pendidikan terbabit bermula 16 November hingga 20 November ini.
Gelombang bantahan itu dicetuskan oleh pelajar sekolah menengah sejak pertengahan September lalu yang bertindak menyekat pintu masuk sekolah bagi memprotes keadaan bilik darjah yang daif serta tidak memuaskan.
Gerakan berkenaan kemudiannya disertai penuntut universiti sebelum merebak pantas ke seluruh Perancis dan bergabung dengan siri demonstrasi kesatuan sekerja yang membantah isu inflasi serta peningkatan kos sara hidup.
Larangan terbaharu pihak polis itu melibatkan 10 daripada kira-kira 150 sekolah menengah di ibu negara Perancis, selain merangkumi institusi pengajian tinggi termasuk beberapa fakulti di Universiti Sorbonne.
Ketua Polis Paris, Patrice Faure menerusi perintah berkenaan menjelaskan sekatan itu terpaksa dikuatkuasakan susulan gangguan berulang serta tindakan menghadang laluan di sekitar institusi pendidikan di Paris dan kawasan sekitarnya yang mencetuskan keganasan.
Beliau memaklumkan seramai 1,548 individu telah ditahan sejak siri protes itu bermula, selain beberapa bangunan awam turut menjadi sasaran vandalisme oleh kumpulan penunjuk perasaan.
Menurut Faure, tindakan menyekat laluan masuk ke sekolah dan universiti itu kebanyakannya didalangi oleh segelintir kumpulan pelajar minoriti yang secara langsung menafikan hak pelajar lain untuk mendapatkan pendidikan.
Pihak polis turut merekodkan insiden penghadang jalan menggunakan basikal dan tong sampah, selain kejadian membaling batang besi, botol serta papan tanda ke arah anggota keselamatan yang bertugas. -AFP/AGENSI








