PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman yang sudah dua penggal bertanding di kerusi itu mengesahkan sedia mempertahankan kemenangannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Rahmad berkata, ia berdasarkan kehendak pengundi yang mahu dirinya meneruskan kepemimpinan di kawasan berkenaan.
“Insya-Allah, saya akan pertahankan kerusi DUN Ayer Molek ini berdasarkan kehendak pengundi yang mahu saya meneruskan kepemimpinan.
“Sokongan padu daripada kira-kira 8,000 minoriti Jawa di sini juga menjadi pendorong utama untuk saya terus berkhidmat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai tahap kesediaan menjelang PRN, Rahmad berkata, dirinya berada pada tahap kesihatan terbaik bagi menghadapi kempen pilihan raya.
“Soal kesihatan dan kecergasan tidak menjadi masalah.
“Saya mempunyai rekod kesihatan yang sangat baik merangkumi tekanan darah, paras gula, kolesterol dan fungsi jantung yang berada pada tahap optimum untuk terus bekerja demi rakyat,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, Rahmad mempertahankan DUN Ayer Molek selepas memperoleh 6,348 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Fadly Samin yang memperoleh 3,546 undi; calon Pakatan Harapan (PH), Rafee Ibrahim (2,446 undi) dan calon Bebas, Ahmad Muaz Omar (90 undi).
Rahmad menang dengan majoriti 2,802 undi pada pilihan raya berkenaan.
Beliau turut memenangi kerusi sama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. – UTUSAN











