KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi pusat pertemuan ulama dunia apabila menjadi tuan rumah International Islamic Fiqh Academy Conference yang dijadual berlangsung dari hujung November hingga 3 Disember depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, persidangan itu dijangka menghimpunkan ulama dan sarjana Islam dari seluruh dunia, khususnya negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menurutnya, penganjuran persidangan berkenaan merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada Malaysia sebagai negara yang mempunyai ekosistem ilmu dan institusi Islam yang kukuh.
“Kehadiran ulama antarabangsa itu juga memberi peluang kepada masyarakat dan institusi tempatan untuk mendapatkan manfaat daripada keilmuan serta kesarjanaan mereka.
“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada negara kita dan kita perlu mengambil peluang kerana dengan himpunnya ulama ini. Insya-Allah kita akan dapat keberkatan dan manfaat daripada keilmuan serta kesarjanaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran Program Dakwah Negara (PDN) 2026 dan Perasmian Permukiman Zamalah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peringkat Kebangsaan, di The Pearl, di sini hari ini.
Tambah Zulkifli, persidangan berkenaan akan berlangsung di Putrajaya dan maklumat lanjut termasuk pihak yang akan merasmikan acara itu akan diumumkan kemudian.
Katanya, pertemuan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 270 ulama tersohor dunia yang akan berkampung di Putrajaya.
“Malaysia perlu memanfaatkan kedudukan tersebut untuk terus memperkukuh peranan negara sebagai pusat ilmu, pertemuan ulama dan pengembangan pemikiran Islam di peringkat antarabangsa.
“Usaha mengangkat ulama tempatan serta tradisi turath perlu diteruskan seiring dengan pemanfaatan teknologi kontemporari bagi memastikan dakwah dan keilmuan Islam kekal relevan dengan cabaran semasa,” katanya. – UTUSAN











