Kedua-dua mereka rapat seperti adik beradik - Ibu saudara

Kedua-dua mereka rapat seperti adik beradik – Ibu saudara

NORBANI Mahpol (kanan) dan anaknya, Daniel Aiman Low menunjukkan gambar Siti Nur Batrisya Mohd. Khalid dan Siti Nurmaisarah Abdul Jalil yang maut dalam kemalangan ketika ditemui di Kampung Parit Sagil, Ayer Hitam, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Dua wanita bersaudara yang maut dalam kebakaran selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dengan kemalangan di Jalan Ayer Hitam-Yong Peng, di sini semalam pernah berjanji untuk sehidup semati sejak mereka kecil.

Ibu saudara mereka, Norbani Mahpol, 41, berkata, Siti Nur Batrisya Mohd. Halid, 22, merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik manakala Siti Nurmaisarah Abdul Jalil, 22, pula merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan hanya berbeza beberapa bulan kelahiran.

Menurutnya, kedua-dua saudara itu mempunyai hubungan yang akrab seolah-olah mereka adik beradik sekeluarga kerana sebaya dan juga tinggal di kediaman bersebelahan satu sama lain di Kampung Parit Sagil, di sini. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka bersekolah bersama-sama daripada sekolah rendah sehingga tamat tingkatan enam. Malahan kedua-dua juga baharu mengikat tali pertunangan masing-masing pada bulan April lalu,” katanya kepada pemberita.

Tambah Norbani, sebelum keluar bekerja semalam, Siti Nur Batrisya dikatakan merenung wajah ibunya, Hamidah Sulaiman, 66, seolah-olah itu adalah tatapan terakhir anak bongsu itu kepada individu yang melahirkannya.

“Ibunya juga beritahu, sejak beberapa hari lalu dia ada bermimpi melihat ramai orang datang ke rumah, tidak sangka itu menjadi petanda apa yang berlaku,” katanya.

Norbani turut memberitahu kedua-dua anak saudaranya itu akan dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Ayer Hitam, di sini hari ini.

Sementara itu, sepupu kedua-dua mangsa, Daniel Aiman Low, 20, pula berkata, Siti Nur Batrisya dan Siti Nurmaisarah berkunjung ke kedai makan yang diusahakan semalam sebelum kejadian berlaku.

“Biasanya mereka akan beli secara bungkus untuk dibawa balik dan makan di rumah, tetapi semalam mereka datang kedai dan makan di sana. Saya kang tidak jangka itu akan menjadi detik pertemuan terakhir bersama mereka,” katanya.

Semalam, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Shamin Mohamed Salikin dilaporkan berkata, dua wanita rentung selepas kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Ayer Hitam-Yong Peng.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 4.21 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini