REMBAU: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli masih mempunyai dua peluang untuk memburu podium apabila Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) memasuki dua peringkat terakhir, bermula esok.
Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, profil laluan Peringkat 7 dan 8 yang lebih landai memberi ruang kepada Aiman untuk kembali mempamerkan kekuatannya sebagai pelumba ‘breakaway’.
Katanya, pelumba berusia 27 tahun itu juga mempunyai masa untuk mendapatkan semula tenaga selepas mengharungi dua peringkat pendakian yang mencabar di Cameron Highlands dan Genting Highlands.
“Selepas Genting semalam (kelmarin), dia mempunyai masa untuk pulih dan Peringkat 7 boleh dianggap sebagai peluang kedua terakhir. Kalau terlepas, masih ada peluang di Putrajaya untuk dia membuktikan kewibawaannya sebagai seorang ‘breakaway rider’,” katanya.
Menurut Emir, karakter dua laluan terakhir lebih sesuai dengan gaya perlumbaan Aiman yang gemar melakukan serangan dari kelompok utama berbanding dua peringkat terdahulu yang lebih menuntut keupayaan mendaki.
“Dari segi perlumbaan, memang kita menjangkakan dua peringkat terakhir ini menjadi peluang untuk Aiman Rosli,” katanya.
Pada Peringkat 6 dari Pandan Indah ke Rembau semalam, Aiman menamatkan perlumbaan di tempat ke-101 daripada 110 pelumba.
Peringkat 7, hari ini, membabitkan jarak 158.9 kilometer (km) dari Melaka ke Batu Pahat dengan tiga zon pecutan di Tangkak, Bukit Kepong dan Parit Sulong.
Saingan kemudian melabuhkan tirai menerusi Peringkat 8 sejauh 188.3km dari Muar ke Putrajaya yang turut menawarkan satu zon pendakian di Bukit Mantin serta tiga zon pecutan di Simpang Ampat, Seremban dan Nilai. – UTUSAN









