PETALING JAYA: Tsen Ren Han muncul sebagai prospek pakar pendakian baharu negara selepas mempamerkan kemampuan memberangsangkan di laluan berbukit pada Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang melabuhkan tirai semalam.
Jurulatih skuad kebangsaan, Mohd Yusof Abdul Nasir berkata, Ren Han berjaya membuktikan Malaysia kini mempunyai bakat baharu untuk diketengahkan dalam acara pendakian, selepas sekian lama lebih memberi tumpuan kepada pelumba pecut.
Katanya, Ren Han yang membuat penampilan sulung di LTdL menunjukkan prestasi konsisten dalam beberapa peringkat yang menawarkan cabaran pendakian, termasuk Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.
“Alhamdulillah, pada perlumbaan kali ini kita nampak kita ada pendaki. Ren Han menunjukkan prestasi yang bagus walaupun ini kali pertama dia beraksi di LTdL.
“Kalau dulu kita ada Adiq (Husainie Othman) tetapi sekarang tiada masalah,” katanya.
Ren Han, 19, mencuri perhatian apabila muncul pelumba Asia keempat terbaik pada Peringkat 2 dari Taiping ke Gunung Jerai, kelima terbaik Asia pada Peringkat 4 dari Meru Raya ke Cameron Highlands dan ketiga terbaik Asia pada Peringkat 5 dari Tapah ke Genting Highlands.
Bagaimanapun, harapan untuk melihat Ren Han menamatkan LTdL26 terhenti pada peringkat terakhir dari Muar ke Putrajaya, kelmarin, selepas dia disingkirkan daripada perlumbaan.
“Tidak ada rezeki apabila penyertaan Ren Han dibatalkan. Basikalnya rosak dan ketika bantuan diberikan kepadanya, mungkin komisar melihat kami melakukan kesalahan.
“Ren Han baru berusia 19 tahun dan tidak banyak pendedahan serta pengalaman. Jadi, LTdL ini adalah satu pengalaman yang sangat penting untuk dia,” katanya.
Skuad berbasikal negara menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15 keseluruhan dengan catatan masa 88 jam, 00 minit dan 42 saat. – UTUSAN











