BAHAGIAN pampasan pekerja (PP) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka meningkat kepada 34 peratus pada 2026, didorong peningkatan gaji dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, sektor perkhidmatan menyumbang 62.4 peratus kepada PP, manakala sektor pembuatan sebanyak 21.5 peratus.
“Ini terutama melalui industri perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, perkhidmatan lain termasuk perkhidmatan kerajaan, selain produk elektrik, elektronik dan optikal,” katanya.
Jelasnya, ekonomi Malaysia kekal stabil dengan KDNK nominal berkembang sebanyak 4.8 peratus kepada RM2.03 trilion pada 2025, manakala PP meningkat sebanyak 5.8 peratus kepada RM686.9 bilion.
“Pertumbuhan PP yang mengatasi pertumbuhan KDNK nominal meningkatkan bahagiannya kepada KDNK kepada 33.9 peratus pada 2025.
“Peningkatan ini didorong kestabilan guna tenaga serta produktiviti yang lebih baik, sekali gus mewujudkan persekitaran kondusif bagi pertumbuhan gaji.
“Intervensi gaji secara struktural melalui Dasar Gaji Progresif (DGP) dan pelarasan gaji minimum turut menyokong pertumbuhan PP walaupun bahagiannya masih di bawah sasaran 40 peratus yang ditetapkan pada 2030,” katanya.
Justeru itu, katanya, PP dijangka terus meningkat sebanyak lapan peratus pada 2026, didorong penerimaan rangka kerja pampasan berteraskan produktiviti yang lebih meluas serta impak pelaksanaan fasa kedua pelarasan gaji SSPA.
“Perkembangan itu membolehkan peningkatan pendapatan yang bermakna, khususnya dalam kalangan pekerja berpendapatan sederhana,” ujarnya. – UTUSAN











