WorldSkills perlu jadi medan penanda aras, bukan sekadar buru pingat

WorldSkills perlu jadi medan penanda aras, bukan sekadar buru pingat

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyertaan Malaysia dalam WorldSkills di Shanghai tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pingat semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan medan penanda aras bagi mempercepat penambahbaikan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengalaman yang diperoleh sepanjang pertandingan itu perlu diterjemahkan kepada penambahbaikan teknologi, latihan, peralatan dan standard di institusi TVET negara ini.

Beliau berkata, ilmu pakar negara, pengalaman jurulatih serta amalan terbaik yang diperoleh daripada pertandingan itu perlu dibawa pulang dan diterapkan di bengkel, makmal serta institusi TVET seluruh negara.

“Shanghai mesti menjadi tempat kita bertanding, tetapi pada masa sama tempat kita belajar.

“Jadikan ia medan benchmarking. Lihat bagaimana negara terbaik melatih bakat, teknologi yang mereka gunakan, cara mereka menyelesaikan masalah dan bagaimana standard industri diterjemahkan kepada latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Perjumpaan Khas dengan Delegasi Negara ke Worldskills Competition Shanghai 2026 di Auditorium, Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Seramai 22 anak muda akan bertanding dalam 21 bidang kemahiran, berhadapan lebih 1,400 peserta dari 70 negara dan wilayah dalam 64 bidang yang dipertandingkan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, perubahan pantas dalam dunia kemahiran menuntut TVET Malaysia bergerak lebih pantas dan tidak lagi bergantung kepada pendekatan lama.

“Shanghai kali ini memperkenalkan bidang-bidang baharu termasuk Intelligent Security Technology, Software Testing dan Unmanned Aerial Systems.

“Mesejnya jelas. The world of skills is changing fast. TVET Malaysia juga tidak boleh bergerak dengan kelajuan semalam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu satu kajian semula selepas pertandingan atau post-competition review dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengenal pasti jurang yang perlu ditangani dalam sistem TVET negara.

“Jangan hanya melihat siapa menang dan siapa kalah. Kenal pasti jurang teknologi, latihan, peralatan dan standard yang kita lihat di sana.

“Apa yang lebih baik kita pelajari, apa yang sesuai kita serap dan apa yang kurang kita baiki,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×