HAT YAI (THAILAND): Cubaan seorang lelaki warga Malaysia membawa masuk wang tunai RM870,000 ke Thailand terbongkar selepas anggota kastam menemukan beberapa bungkusan yang disembunyikan di bahagian tempat duduk penumpang sebuah kereta, Ahad lalu.
Suspek berusia 40-an itu ditahan semasa pemeriksaan dilakukan di Rumah Kastam Sadao, dekat sini pada pukul 11 pagi.
Jurucakap Jabatan Kastam Cawangan Sadao berkata, tindakan itu dilakukan selepas anggota bertugas mengesan kereta lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan ketika cuba melintasi pemeriksaan kastam.
Katanya, kenderaan terbabit kemudian diarah berhenti sebelum dibawa ke Rumah Kastam Sadao bagi pemeriksaan lanjut.
“Anggota menggeledah kenderaan berkenaan sebelum menemukan beberapa bungkusan berisi wang tunai yang disembunyikan di bahagian tempat duduk penumpang. Jumlah keseluruhan wang tunai yang dirampas ialah RM870,000 atau kira-kira 7.1 juta baht,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Jurucakap itu berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 166, 242 dan 252 Akta Kastam Thailand 2560 kerana membawa masuk sejumlah wang tunai tanpa diisytiharkan.
Katanya, suspek turut ditahan mengikut Seksyen 157 dan 167 Akta Kastam 2560 kerana cuba menyeludup sejumlah besar wang asing ke Thailand.
Sementara itu, jurucakap berkenaan mengingatkan semua pelancong supaya membuat perisytiharan kepada pihak kastam sekiranya membawa masuk wang tunai melebihi AS$15,000 atau nilai setara dalam mata wang lain.
“Sebarang jumlah yang melebihi had ini mesti diisytihar. Jika membawa masuk jumlah yang kurang daripada had yang ditetapkan, tidak perlu isytihar.
“Jika bawa wang tunai melebihi jumlah yang dibenarkan, sila ke laluan ‘Barangan untuk diisytiharkan’ dan lengkapkan borang perisytiharan mata wang yang dibawa masuk atau keluar,” katanya.
Beliau mengingatkan kegagalan mengisytiharkan wang tunai melebihi had tertentu boleh dianggap sebagai satu kesalahan undang-undang dan mengakibatkan wang tersebut dirampas atau dikenakan denda. – UTUSAN











