PETALING JAYA: Reformasi menyeluruh perlu dilaksanakan terhadap syarikat pegangan universiti awam yang tidak kompeten dalam mencapai matlamat asal penubuhan, khususnya ke arah memperkukuh kemampanan kewangan institusi pendidikan tinggi.
Presiden Gabungan Kesatuan Kakitangan Am Universiti Awam Malaysia (GAKUM), Norsyahriman Md. Arif berkata, peneraju utama syarikat pegangan universiti awam hendaklah memacu syarikat ke arah penjanaan pendapatan membanggakan.
Katanya, ia juga perlu berdaya saing, mengoptimumkan aset dan memastikan setiap inisiatif serta keputusan perniagaan diterjemahkan kepada pulangan yang nyata kepada universiti.
“Kegagalan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan tidak wajar dibiarkan berlarutan, sebaliknya hendaklah disusuli dengan tindakan pembetulan yang segera, tegas dan berakauntabiliti.
“GAKUM memandang serius isu ini kerana syarikat pegangan universiti awam seharusnya tidak hanya dilihat sekadar sebagai entiti korporat yang wujud secara pentadbiran, sebaliknya mesti berfungsi sebagai instrumen strategik yang memberikan nilai tambah yang jelas kepada universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan mengejutkan berkaitan dengan kerugian UiTM Holdings dianggarkan mencecah RM157 juta.
Norsyahriman berkata, GAKUM menggesa supaya beberapa langkah segera diambil bagi membendung ketirisan dan kerugian melibatkan syarikat pegangan universiti awam dengan mengaudit prestasi dan kewangan secara menyeluruh dan berkala.
Katanya, penilaian semula terhadap modal dan model perniagaan perlu dibuat, selain menilai semula semua aset universiti yang diletakkan di bawah pengurusan syarikat pegangan.
“Semakan semula terhadap struktur tadbir urus dan pelantikan ahli lembaga pengarah. Penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan telus.
“Pelaporan prestasi secara berkala kepada pihak berkepentingan dan pemegang taruh universiti,” katanya.
GAKUM juga menyambut baik saranan dan kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kepincangan itu disiasat dengan segera dan sekiranya jelas terbukti wujudnya penyelewengan, tindakan yang selanjutnya wajar diambil. – UTUSAN











