PETALING JAYA: Skuad Honor of Kings negara menamatkan cabaran Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan pingat perak selepas tewas 0-4 kepada China dalam aksi final di Aichi Sky Expo, sebentar tadi.
Malaysia yang menurunkan Chen Tat Yann, Lim Chee Hong, Chong Han Hui, Ryan Na Jie Rong dan Lee Han Siang berdepan cabaran getir apabila berhadapan China yang dibarisi Huang Yaoqin, Wang Ke, Xu Bicheng, Meng Jiajun dan He Weijia.
China, selaku kuasa utama Honor of Kings, tampil lebih kemas dan tersusun sejak awal permainan untuk mengawal rentak perlawanan, sekali gus menyukarkan Malaysia mencari ruang bagi mengubah momentum.
Selepas menguasai saingan, China akhirnya melengkapkan kemenangan 4-0 untuk merangkul emas, manakala Malaysia terpaksa berpuas hati dengan perak yang bagaimanapun menepati sasaran pasukan sebelum berangkat ke Aichi-Nagoya.-UTUSAN











