Russia, Ukraine saling tuduh rekrut rakyat Indonesia

Russia, Ukraine saling tuduh rekrut rakyat Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Russia mendakwa Ukraine merekrut rakyat Indonesia untuk menyertai pasukannya, beberapa hari selepas Kyiv membuat dakwaan sama terhadap Moscow.

Kedua-dua pihak kini saling menuduh merekrut rakyat Indonesia untuk dihantar ke medan perang.

Agensi Perisikan Ukraine, FISU, pada akhir Ogos mendakwa sekurang-kurangnya lapan rakyat Indonesia diperdaya menyertai tentera Russia selepas ditawarkan gaji lumayan serta jawatan yang tidak melibatkan pertempuran.

Kedutaan Russia di Indonesia pada Jumaat menafikan dakwaan itu dan mendakwa pengambilan warga asing turut berlaku dalam tentera Ukraine, termasuk rakyat Indonesia yang dikatakan terkorban.

Moscow turut mendakwa Kyiv merancang menjadikan warga asing sehingga separuh daripada kekuatan tenteranya, selain menggunakan ‘kaedah penipuan’ melalui misi diplomatik dan organisasi yang mempunyai kaitan dengannya.

Kedutaan Russia menyifatkan laporan Ukraine itu sebagai ‘kempen maklumat salah’, sambil mendakwa penerbitannya hanya beberapa hari sebelum lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, ke Vladivostok bertujuan menjejaskan hubungan Russia-Indonesia.

Ketika Ukraine mula-mula mendedahkan mengenai lapan rakyat Indonesia yang bertempur di pihak Russia, jurucakap Kementerian Luar, Yvonne Mewengkang, berkata Jakarta akan menyiasat perkara itu.

Beliau berkata, penglibatan rakyat Indonesia dalam tentera Russia tidak mencerminkan pendekatan dasar luar Indonesia, sambil mengulangi pendirian Jakarta yang menggesa konflik itu diselesaikan secara aman.

Sementara itu, Kedutaan Ukraine baru-baru ini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Indonesia bagi menghalang lebih ramai rakyat negara itu daripada direkrut sebagai tentera upahan Russia.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×