PHUKET: Seorang anggota polis tidak sengaja tertembak ibunya di kepala ketika mengendalikan pistol perkhidmatan di rumah mereka di Phuket malam kelmarin, sebelum wanita itu disahkan meninggal dunia di hospital.
Polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.20 malam di sebuah rumah di Koh Kaew, daerah Mueang Phuket.
Balai Polis Mueang Phuket kemudian mengarahkan pasukan kecemasan ke lokasi kejadian. Anggota penyelamat dan petugas perubatan yang tiba di rumah berkenaan menemukan seorang wanita dengan satu kesan tembakan di bahagian tengah kepala.
Anak mangsa yang dikenal pasti sebagai Koperal Chonthee memberitahu penyiasat dia sedang mengendalikan pistol separa automatik Glock 19 milik kerajaan ketika kejadian berlaku.
Chonthee yang bertugas dalam unit kawalan orang ramai di bawah bahagian siasatan Polis Wilayah 8, berkata dia menarik gelongsor pistol itu tanpa memeriksa bahagian kamar peluru.
Sebiji peluru 9mm masih berada di dalam pistol sebelum senjata itu melepaskan tembakan dan mengenai kepala ibunya.
Petugas penyelamat membawa wanita itu ke Hospital Vachira Phuket, namun dia kemudian meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Berikutan kejadian tembakan itu, polis memanggil pegawai forensik dari Phuket untuk memeriksa lokasi kejadian, meneliti pistol berkenaan serta menjalankan pemeriksaan terhadap anggota polis itu bagi mengesan kesan tembakan.
Penyiasat turut membawa Chonthee bersama pistol Glock 19 berkenaan ke Balai Polis Mueang Phuket untuk siasatan lanjut.- AGENSI











