Piala ASEAN FIFA: RTM sah siar aksi Harimau Malaya

Piala ASEAN FIFA: RTM sah siar aksi Harimau Malaya

SKUAD Harimau Malaya giat menjalani sesi latihan bagi persediaan mengharungi kempen Piala ASEAN FIFA di Jakarta.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Teka-teki yang menghantui ribuan penyokong Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengesahkan bakal menyiarkan secara langsung aksi pembukaan skuad negara dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026 menentang Bangladesh, esok.

Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran di laman Facebook rasmi RTM hari ini, sekali gus menamatkan segala spekulasi mengenai penyiar yang akan membawa siaran langsung kejohanan berkenaan di Malaysia.

“Piala ASEAN FIFA 2026. Nantikan siaran eksklusif perlawanan Malaysia menentang Bangladesh di RTM,” menurut hantaran berkenaan.

Pengesahan itu hadir tepat pada masanya selepas penyokong tempatan tertanya-tanya sejak beberapa hari lalu mengenai status hak penyiaran kejohanan baharu anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu.

Malah, ketiadaan pengumuman rasmi daripada mana-mana stesen televisyen sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat yang tidak mahu terlepas menyaksikan aksi pertama Harimau Malaya di Jakarta.

Keterujaan untuk mengikuti perlawanan tersebut turut memuncak susulan penampilan sulung penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva yang buat pertama kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan persoalan mengenai saluran penyiaran menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong apabila tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat walaupun kejohanan hanya berbaki beberapa hari untuk bermula.

Dengan pengesahan RTM, peminat kini boleh menarik nafas lega dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada cabaran skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang bakal memulakan kempen menentang Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno.

Piala ASEAN FIFA 2026 yang berlangsung bermula esok hingga 5 Oktober merupakan edisi sulung kejohanan berkenaan dengan Jakarta dipilih sebagai venue pertandingan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh, menjadikan aksi pembukaan menentang Bangladesh cukup penting dalam menentukan hala tuju kempen Harimau Malaya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×