Piala ASEAN FIFA: Harimau Malaya kesuntukan masa

Piala ASEAN FIFA: Harimau Malaya kesuntukan masa

TAN Cheng Hoe tekad mengumpulkan barisan pemain terbaik menjelang kempen Piala ASEAN FIFA 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekangan masa menjadi cabaran utama buat Tan Cheng Hoe dalam mempersiapkan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala ASEAN FIFA 2026 apabila kem latihan pusat hanya dijadualkan bermula pada 21 September.

Situasi itu berlaku susulan komitmen pemain bersama kelab masing-masing dalam saingan Piala FA yang dijadual berlangsung pada 19 dan 20 September, sekali gus menyukarkan skuad kebangsaan untuk dihimpunkan lebih awal.

Jurulatih interim Harimau Malaya itu berkata, pemain yang sudah selesai menjalani tugasan bersama kelab akan melaporkan diri pada 21 September, namun hari pertama kem berkemungkinan lebih tertumpu kepada pemulihan berbanding latihan penuh.

“Barisan pemain Harimau Malaya mungkin akan mula berlatih pada 21 September tapi kemungkinan tidak semua ada, jadi mungkin hanya boleh lakukan proses pemulihan.

“Lepas itu, kita(pasukan) mungkin akan berlepas pada 22 September ke Indonesia. Jadi tempoh masa memang cukup singkat untuk membuat persediaan rapi,” katanya.

Menurut Cheng Hoe, barisan kejurulatihan perlu menerima hakikat bahawa tempoh persiapan kali ini amat terhad, selain tidak semua pemain dapat terus menyertai sesi latihan sebaik sahaja melaporkan diri.

Keadaan itu pastinya memberi cabaran kepada Cheng Hoe untuk membentuk keserasian pasukan, di samping menerapkan pendekatan taktikal dalam tempoh yang singkat sebelum Harimau Malaya memulakan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 pada 25 September.

Tempoh persiapan yang singkat turut perlu diuruskan dengan sebaik mungkin bagi memastikan tahap kecergasan pemain tidak terjejas, terutama mereka yang baru selesai mengharungi aksi Piala FA bersama kelab masing-masing.

Malaysia dijadual membuka kempen dengan menentang Bangladesh pada jam 5 petang di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, sebelum berdepan tuan rumah Indonesia di venue sama pada 28 September, jam 8.30 malam.

Skuad negara kemudian akan menentang Singapura pada 1 Oktober, jam 8.30 malam di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.

Dengan masa yang terhad untuk menghimpunkan pemain, menjalani proses pemulihan, membina keserasian serta memantapkan taktikal, Cheng Hoe perlu memastikan Harimau Malaya berada pada tahap terbaik apabila kempen Piala ASEAN FIFA 2026 bermula.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×