Perak Farish-Hariz cetus desakan liga eFootball

Perak Farish-Hariz cetus desakan liga eFootball

Farish Luzman (kanan) dan Muhammad Hariz Hazmi Hakimin menunjukkan pingat perak sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Jepun, semalam. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pingat perak Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bukan sekadar pencapaian buat Farish Luzman dan Muhammad Hariz Hazmi Hakimin, sebaliknya membuka persoalan lebih besar mengenai keperluan Malaysia memiliki liga eFootball sendiri.

Farish melihat saingan domestik yang tersusun mampu menjadi platform berterusan untuk pemain tempatan mengasah kemahiran, sekali gus menyediakan lebih ramai wakil berkualiti untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Pertama sekali, saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia, terutama keluarga saya dan keluarga Hariz yang banyak membantu kami sehingga sampai ke tahap ini.

“Kami sudah berjaya mendapatkan pingat perak di Sukan Asia dan kami harap mungkin tahun depan komuniti eFootball Malaysia boleh buat sesuatu yang lebih baharu seperti liga untuk melahirkan lebih ramai bakat bagi kita bertanding di peringkat dunia,” katanya.

Menurut Farish, Malaysia boleh mengambil contoh Thailand yang sudah mempunyai liga tersendiri bagi mewujudkan persaingan lebih konsisten dalam kalangan pemain tempatan.

“Macam Thailand, mereka ada Thai League. Jadi, kami harap kita juga boleh ada liga seperti Liga Super supaya kami dapat bersaing dengan pemain luar,” katanya.

Bagi Hariz pula, kewujudan liga tempatan bukan hanya soal menambah jumlah pertandingan, tetapi penting untuk memastikan pemain sedia ada terus mempunyai momentum sambil meningkatkan tahap persaingan.

“Seperti yang Farish cakap, Malaysia memerlukan satu liga untuk mengekalkan momentum pemain-pemain yang ada dan meningkatkan kualiti pemain tempatan kita,” katanya.

Farish-Hariz sebelum ini mencipta kejutan dengan membawa pulang perak selepas tewas 4-2 kepada gandingan Iran, Abolfazi Aghaeinasab dan Hassan Pajani dalam aksi final eFootball Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×