Najib: Ahmad Zahid seru ahli UMNO sambut perkembangan dengan syukur, jaga adab

Najib: Ahmad Zahid seru ahli UMNO sambut perkembangan dengan syukur, jaga adab

AHMAD Zahid Hamidi pada sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Kali Ke-5 di Jakarta, Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh ahli parti supaya menyambut perkembangan membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah dengan rasa syukur.

Namun, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mahu setiap ahli menjaga adab dalam setiap ungkapan serta menghormati segala proses yang ditetapkan.

“Saya menyeru seluruh ahli UMNO agar menyambut perkembangan ini dengan rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sidang Kemuncak Halal (H20) Kali Ke-5 di sini hari ini.

Perkembangan itu susulan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 hari ini yang memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Pengampunan bersyarat itu bagaimanapun tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan. Sekiranya mana-mana syarat tidak dipatuhi, pengampunan bersyarat itu terbatal dan baki hukuman perlu diteruskan di penjara.

Ahmad Zahid berkata, bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO, beliau merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta menzahirkan penghargaan atas limpah ihsan Baginda.

“Dengan penuh takzim, saya bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO merafak sembah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“UMNO menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ihsan Baginda,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah, yang disifatkannya amat bermakna buat bekas Perdana Menteri itu, keluarga serta seluruh keluarga UMNO.

“Perkembangan ini amat bermakna buat beliau dan keluarga, serta seluruh keluarga UMNO yang selama ini tidak putus menaruh harapan dan menitipkan doa,” katanya.

Beliau berkata, pendirian UMNO sejak awal adalah untuk membawa permohonan berkenaan dengan penuh tertib dan rendah hati melalui saluran yang ditetapkan.

“Penghormatan kepada institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan terus menjadi pegangan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menzahirkan rasa syukur tidak terhingga atas perkembangan berkenaan yang disifatkannya membawa kelegaan besar buat Najib dan keluarga serta akan sentiasa dikenang dengan penuh penghargaan oleh seluruh keluarga UMNO.

“Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesejahteraan kepada Tuanku serta memelihara keamanan dan keharmonian negara.

Terdahulu, Keputusan Lembaga Pengampunan itu dibuat selepas permohonan pengampunan Najib ditangguhkan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63 pada 11 September lalu untuk dipertimbangkan pada mesyuarat akan datang.

Sebelum ini, Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 memutuskan pengurangan hukuman Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×