Meja kuil dimusnahkan selepas video seks sami tular

Meja kuil dimusnahkan selepas video seks sami tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pejabat Kebangsaan Agama Buddha Thailand (NOB) meminta polis memusnahkan meja yang menjadi tumpuan dalam skandal seks membabitkan bekas ketua sami Kuil Phutthaisawan di Ayutthaya kerana menganggapnya membawa sumpahan terhadap agama itu.

Pegawai Biro Siasatan Pusat (CIB) menahan ketua sami kuil berusia 66 tahun, Phra Wachirayan Wi, yang juga dikenali sebagai Atichot Dhammawaro, atas dakwaan pecah amanah yang dilaporkan menyebabkan kerugian kira-kira 92 juta baht (RM11.36 juta) kepada kuil berkenaan.

Polis turut mengenal pasti Punyawee, 47, seorang wanita Thailand yang bekerja di kuil itu, sebagai individu yang terbabit dalam dakwaan pecah amanah berkenaan. Dia turut dilaporkan melakukan hubungan seks dengan Atichot.

Hubungan mereka terbongkar ketika siasatan kewangan dijalankan. Rakaman kamera keselamatan dari kawasan kediaman sami menunjukkan kedua-duanya melakukan aktiviti seksual di dapur dan di atas meja makan berbentuk bulat dalam kediaman ketua sami itu.

Rakaman berkenaan kemudian tersebar di media sosial Thailand, mencetuskan kritikan orang ramai dan meningkatkan perhatian terhadap kes itu.

Polis menggeledah kawasan kediaman sami semalam, bagi mengumpul bukti tambahan untuk siasatan kes pecah amanah berkenaan. Pegawai turut merampas meja makan yang kelihatan dalam rakaman itu dan membawanya ke pejabat bahagian berkenaan.

Tindakan merampas meja itu menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai mengenai kaitannya dengan kes kewangan berkenaan. Polis kemudian menjelaskan meja itu dirampas untuk dimusnahkan susulan permintaan NOB.

Menurut polis, NOB meminta meja itu dikeluarkan kerana menganggapnya membawa nasib buruk dan tidak sesuai berada di dalam kuil diraja. Pejabat itu turut berkata, kewujudan meja berkenaan boleh menyebabkan penganut tidak lagi mengunjungi Kuil Phutthaisawan untuk melakukan amal kebajikan.

NOB turut bimbang orang ramai akan mengunjungi kuil itu semata-mata untuk melihat meja berkenaan selepas rakaman eksplisit itu tular, bukannya untuk melakukan amal kebajikan.

Ramai pengguna media sosial mengkritik keputusan itu dengan mendakwa meja berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kesalahan yang dipertuduhkan. Mereka berkata, isu sebenar membabitkan individu yang terlibat dalam kes itu dan bukannya objek di dalam kuil.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×