Lima calon rebut kerusi Ketua WHO

Lima calon rebut kerusi Ketua WHO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Saingan merebut jawatan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini menyaksikan penyertaan lima calon dari lima negara selepas tempoh pencalonan ditutup kelmarin.

Lima calon itu ialah Hanan Mohammed Al-Kuwari dari Qatar, Hanan Balkhy dari Arab Saudi, Hans Kluge dari Belgium, Maria Neira dari Sepanyol dan Budi Gunadi Sadikin dari Indonesia.

Kesemua calon akan bersaing untuk menggantikan Tedros Adhanom Ghebreyesus dari Ethiopia sebagai Ketua Pengarah WHO.

Memuatkan artikel berkaitan…

Al-Kuwari ialah bekas Menteri Kesihatan Qatar, manakala Balkhy merupakan doktor yang mengetuai Pejabat WHO bagi Mediterranean Timur.

Kluge pula ialah doktor dan Pengarah Serantau WHO bagi Eropah, manakala Neira ialah doktor serta ahli epidemiologi dan pernah berkhidmat sebagai pengarah WHO. Manakala, Budi merupakan Menteri Kesihatan Indonesia.

Forum calon dijadualkan berlangsung pada November, manakala Lembaga Eksekutif WHO akan menyenarai pendek sehingga tiga calon pada Januari 2027.

Tedros menerajui agensi kesihatan global itu sejak 2017, termasuk ketika pandemik Covid-19 serta beberapa wabak lain seperti Ebola dan Mpox.

Sepanjang tempoh kepimpinannya, Washington yang ketika itu merupakan penyumbang terbesar WHO mengarahkan Amerika Syarikat (AS) keluar daripada organisasi tersebut pada 2025.

Presiden Donald Trump mendakwa WHO gagal mengendalikan pandemik Covid-19 dengan baik, namun dakwaan itu dinafikan oleh WHO.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×