CORON: Operasi mencari dan mengeluarkan mayat mangsa kebakaran feri di perairan Palawan diteruskan semalam, dengan pihak berkuasa Filipina memberi amaran angka korban dijangka meningkat daripada 35 orang.
Kebakaran yang tercetus di atas kapal M/V June Aster pada petang Rabu lalu menyebabkan feri berkenaan terkandas berhampiran Coron, destinasi pelancongan popular di Palawan.
Sekurang-kurangnya 30 mayat dibawa ke sebuah pelabuhan berhampiran Coron semalam, selepas ditemukan di bahagian penginapan kelas ekonomi kapal berkenaan.
Jurucakap pengawal pantai, Noemie Cayabyab, berkata operasi kini menumpukan kepada usaha mengeluarkan semua mangsa sebelum siasatan penuh dijalankan.
“Ketika ini, tumpuan kami adalah untuk operasi mengeluarkan mayat dan selepas itu kita akan meneruskan siasatan,” katanya pada sidang media semalam.
Beliau berkata, mayat yang ditemukan akan diserahkan kepada penyiasat forensik polis untuk proses pengecaman sebelum pihak berkuasa tempatan memaklumkan kepada keluarga mangsa.
Cayabyab berkata kepada AFP, pemindahan awal hanya membabitkan 30 mayat berikutan kapasiti kapal peronda yang digunakan untuk membawa mangsa, manakala beberapa lagi mayat masih berada di dalam feri.
Lima lagi mangsa disahkan maut sejurus selepas kebakaran berlaku, menjadikan jumlah korban yang dikenal pasti setakat ini 35 orang.
Gambar yang dikeluarkan pengawal pantai menunjukkan deretan beg mayat dipindahkan ke sebuah kapal kecil, dengan beberapa petugas memakai sut perlindungan bahan berbahaya.
Setakat ini, 30 penumpang dan 13 kru berjaya diselamatkan, manakala 54 lagi masih belum ditemukan.










