Kompleks Mahkamah Johor Bahru di Kota Iskandar mula operasi Januari 2027 - Utusan Malaysia

Kompleks Mahkamah Johor Bahru di Kota Iskandar mula operasi Januari 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kompleks Mahkamah Johor Bahru di Kota Iskandar di sini akan mula beroperasi pada 1 Januari depan bagi menggantikan fasiliti lama di Jalan Ayer Molek, Johor Bahru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, fasiliti itu dibangunkan atas tanah berkeluasan 6.87 hektar.

“Mahkamah ini akan dilengkapi 23 bilik bicara melibatkan Mahkamah Khas, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret. Ia turut menempatkan kamar hakim, pejabat pentadbiran dan kewangan, auditorium serta lain-lain kemudahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Premis baharu ini bukan sekadar bangunan, tetapi usaha memperkukuh institusi kehakiman berdasarkan prinsip undang-undang dan keadilan,” katanya kepadanya pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Siap Serta Lawatan Kerja Ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Tambah Azalina, fasiliti mahkamah di Johor Bahru akan diserahkan semula kepada kerajaan negeri.

“Selain itu, kita juga akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung tarikh perasmian serta cadangan penamaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru ini,” katanya.

Sementara itu, Nanta Linggi memberitahu, Kompleks Mahkamah Johor Bahru merupakan salah satu daripada 11 projek kompleks mahkamah yang sedang dibangunkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM736 juta.

“Projek Kompleks Mahkamah Johor Bahru ini dimulakan pada Februari 2023 dan berjaya disiapkan mengikut jadual pelaksanaan dengan kos berjumlah RM194.5 juta. Selain negeri ini, kita turut bangunkan kompleks mahkamah di Temerloh, Pahang; Sri Aman, Sarawak dan Ipoh, Perak.

“Saya percaya kompleks baharu ini akan memberi nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan kehakiman serta menyediakan persekitaran yang lebih kondusif kepada warga mahkamah, peguam, agensi penguatkuasaan dan orang awam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×