MOSCOW: Dua buah jet tempur milik Russia saling bertembung di ruang udara wilayah Kursk pada Isnin dengan salah seorang juruterbang disahkan terkorban dalam insiden berkenaan.
Menurut maklumat daripada sumber Russia menerusi aplikasi Telegram, Fighterbomber yang mempunyai hubungan rapat dengan sektor penerbangan ketenteraan memaklumkan bahawa dua jet tempur jenis Su-35S milik Russia bertembung di Kursk Oblast.
Beberapa jam kemudian, saluran Telegram yang sama melaporkan bahawa seorang juruterbang terbunuh dalam perlanggaran itu. Ia turut melaporkan seorang lagi juruterbang sempat melenting keluar dari pesawat menggunakan kerusi anjal dan mengalami kecederaan.
Setakat ini, masih tiada sebarang ulasan rasmi daripada Kementerian Pertahanan Russia, manakala punca pertembungan itu belum dipastikan.
Jet tempur jenis Su-35S digunakan oleh Angkatan Tentera Russia bagi memintas kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan peluru berpandu Ukraine. Ia juga digunakan untuk mengimbangi sistem pertahanan udara Angkatan Tentera Ukraine.
Berita kemalangan itu menyusul selepas Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan penghentian serangan ke atas Ukraine selama 72 jam bermula dari tengah malam Sabtu.
Pengumuman berkenaan dibuat oleh jurucakap Kremlin sempena ketibaan utusan khas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Moscow menjelang satu pertemuan rasmi. Utusan AS itu turut dijadualkan melawat Kyiv.
Semasa mengumumkan perkara tersebut, jurucakap presiden Russia, Dmitry Peskov berkata, Putin selaku panglima tertinggi telah mengarahkan penangguhan serangan selama tiga hari ke atas Kyiv bermula tengah malam Sabtu.
“Langkah ini diambil berhubung rundingan dengan pihak AS yang sedang disediakan dan bakal berlangsung di Kyiv,” katanya.
Menurut portal media Ukraine, Ua.news, Russia sebelum ini telah mensasarkan dan membedil beberapa bangunan penting di negara berkenaan pada 4 September.
Pihak media mendakwa dron milik Russia telah merempuh bangunan utama Perkhidmatan Keselamatan Ukraine di Kyiv, dan sebuah lagi bangunan milik agensi berkenaan di lokasi lain di bandar tersebut.
Jet Su-35S ialah pesawat pejuang pelbagai peranan generasi keempat buatan Russia yang dilengkapi dua enjin dengan keupayaan vektor tujahan.
Tentera Russia menggunakan jet Su-35S untuk memberikan perlindungan kepada pesawat serangan Su-34, menyokong pasukan darat, memintas dron dan peluru berpandu selain menyerang sistem pertahanan udara Ukraine. – AGENSI










