Jegat ketuai barisan ampuh TotalEnergies

Jegat ketuai barisan ampuh TotalEnergies

JORDAN Jegat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat mempertahankan dominasi di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 menyaksikan TotalEnergies Pro Cycling menampilkan barisan terkuat dengan Jordan Jegat mengetuai cabaran pasukan ProTeam dari Perancis itu pada edisi ke-30 perlumbaan berprestij berkenaan.

Jegat, 27, yang menamatkan Tour de France (TdF) 2026 di tangga ke-10 keseluruhan, menjadi sandaran utama TotalEnergies dalam mengharungi laluan LTdL kali ini yang lebih mencabar, terutama tiga pendakian utama di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Selain Jegat, pengurus pasukan Thibaut Mace turut membawa Geoffrey Bouchard, 34, Alan Jausseume, 28, Mathis La Berre, 25, Nicola Macerou, 23, dan Valentin Retailleau, 26, bagi membentuk barisan yang sarat dengan pengalaman dan kekuatan mendaki.

Jegat, yang menyertai TotalEnergies pada 2024, tampil dengan reputasi semakin meningkat apabila menduduki tempat ke-28 TdF 2024 sebelum melonjak ke tangga ke-10 pada 2025 dan mengulangi pencapaian sama tahun ini.

Dia turut meraih kemenangan profesional pertama di Classic Grand Besancon Doubs selain menduduki tempat ketiga keseluruhan Tour du Jura dan keempat Presidential Tour of Turkiye musim ini.

Pengalaman luas Bouchard pula menjadi aset penting pasukan itu apabila bekas pelumba AG2R berkenaan pernah menyertai lapan Grand Tour, selain tiga perlumbaan Klasik sehari.

Dia pernah dinobatkan Raja Bukit Vuelta a Espana 2019 dan Giro d’Italia 2021, sebelum mengumumkan persaraan penghujung musim ini.

La Berre turut dilihat mampu memainkan peranan penting dalam perebutan klasifikasi keseluruhan (GC) selepas mempunyai pengalaman menyertai empat Grand Tour dan enam perlumbaan Klasik sehari.

Pelumba itu merekodkan tempat ketujuh La Roue Torangelle, kelapan Tour du Limousin dan ke-76 TdF 2026.

Sementara itu, Jausseume, Macerou dan Retailleau dijangka menjadi tenaga kerja utama pasukan untuk mengawal peloton, membantu pelumba pendaki dan mengekang ancaman pelarian (breakaway).

Jausseume dan Macerou juga bukan asing dengan LTdL selepas masing-masing menduduki tempat ke-16 dan ke-64 keseluruhan pada edisi 2025, selain membantu Joris Delbove menjuarai klasifikasi individu keseluruhan tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL 2026, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran TotalEnergies kali ini memperlihatkan kesungguhan pasukan itu untuk memburu lebih banyak kejayaan selepas Delbove muncul juara keseluruhan tahun lalu.

“Sekalipun tanpa juara bertahan Delbove, senarai enam pelumba TotalEnergies kali ini seolah-olah melaungkan hasrat sebenar mereka untuk mempertahankan kejuaraan Delbove tahun lalu, selain gelaran Raja Bukit dan Berpasukan Keseluruhan.

“Kelibat dan percaturan strategi mereka pasti amat dinantikan peminat apabila membabitkan tiga pendakian sukar di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LTdL 2026 berstatus 2.ProSeries akan membuka tirai menerusi Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar pada 27 September sebelum melabuhkan tirai menerusi Peringkat 8 dari Muar ke Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,258.5 kilometer.

Edisi ke-30 LTdL dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×